Amanah Kluang mahu tanding DUN Mahkota, anggap Umno dominan di Johor

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Amanah Kluang mendesak supaya parti itu diberi peluang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Ketua Amanah Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain, berkata ia berikutan Amanah pernah memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan turut bertanding kerusi itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), pada 2022.

Katanya, kenyataan terbuka Umno Kluang yang menyatakan secara terbuka tidak mahu bekerjasama dengan satu daripada komponen Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini juga sangat mengguris hati akar umbi sekali gus membuka ruang musuh memecah belahkan hubungan PH dan Barisan Nasional (BN) di negeri ini.

“Jelas diketahui Kerajaan Johor hari ini bukan Kerajaan Perpaduan seperti diamalkan Persekutuan dan beberapa negeri lain. Walaupun hubungan mesra, namun PH Johor tidak diberi peranan langsung dalam kerajaan negeri.

“Kami menganggap Umno yang dominan dalam Kerajaan Johor tidak serius dalam menjalinkan perpaduan dengan PH di negeri ini, malah membuat kenyataan secara terbuka mahu merampas beberapa kerusi yang disandang Amanah di Johor.

“Menerusi analisis yang dibuat merujuk data PRU15, Amanah Kluang amat yakin calon PH jika diletakkan di DUN Mahkota, kami boleh menang dengan selesa.

“Oleh yang demikian, Amanah Kluang mendesak supaya calon parti ini diletakkan mewakili PH dan Kerajaan Perpaduan di kerusi DUN Mahkota dan pucuk pimpinan kerajaan Perpaduan haruslah segera mencari titik penyelesaian terhadap isu ini,” lapaor BH di Johor pada Isnin.

Beliau berkata demikian pada sidang media, hari ini. Hadir sama barisan kepemimpinan Amanah Kluang.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan akan mengadakan Mesyuarat Khas PRK bagi kerusi Dewan Undangan Negeri DUN Mahkota, Johor pada 13 Ogos ini, untuk membincangkan pelaksanaan PRK DUN berkenaan.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dilaporkan berkata ini susulan SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengenai kekosongan luar jangka kerusi DUN Mahkota berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.

Sabtu lalu, Barisan Nasional (BN) dilaporkan bersiap siaga untuk menghadapi PRK Mahkota susulan kematian penyandang kerusi berkenaan.

Pengerusi BN,Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, BN akan bersiap siaga selepas PRK Nenggiri untuk hadapi PRK Mahkota pula.

Pada PRN Johor yang diadakan pada Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon BN menang kerusi DUN Mahkota dengan 16,611 undi dan mencatatkan majoriti sebanyak 5,166.

Beliau menewaskan calon PH, Taqiuddin Cheman yang memperoleh 11,445 undi. Calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Nor Lingan pula meraih 7,614 undi manakala calon WARISAN, Mohamed Noor Suleiman mendapat 555 undi.

Pada PRU14 pula, calon Amanah yang menggunakan logo PKR, Muhammad Said Jonit menang kerusi DUN Mahkota dengan meraih 19,507 undi dan meraih majoriti 1,668.

Muhammad Said menewaskan calon BN, Datuk Jais Sarday yang meraih 17,839 undi dan calon PAS, Hasbullah Najib yang mendapat 3,092 undi.

Dalam pada itu, Mohd Zuhan berkata, Amanah Kluang juga sudah menyenarai pendek beberapa nama calon sesuai untuk diberikan kepada Amanah Johor dan Pusat, bagi diteliti.

Bagaimanapun, beliau akan akur dengan ketetapan dibuat pucuk pimpinan PH berhubung calon yang akan diturunkan pada PRK DUN Mahkota.

“Bagaimanapun, Amanah Kluang akan mendengar suara akar umbi kami untuk tindakan selanjutnya.

“Kita tetap bersedia terhadap sebarang kemungkinan sekali pun, sama ada satu lawan satu atau tiga penjuru,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat