KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mengkaji semula dan melaksanakan pelan-pelan pengurusan mitigasi banjir serta penambahbaikan sistem saliran utama yang berkesan untuk tebatan banjir terutama di ibu kota yang kerap dilanda banjir muktahir ini.

Sehubungan itu, sebuah syarikat tempatan, Green Area Technology Asia (GAT Asia) tampil menawarkan diri untuk memberi sumbangan kepada kerajaan bagi mengatasi masalah banjir yang semakin kerap melanda di beberapa lokasi dalam negara.

Pengarah Eksekutif GAT Asia, Ammar Suhaimi berkata, hasil kajian pemerhatian yang dijalankan oleh GAT Asia mendapati pembangunan pesat di bandar-bandar utama menjadi salah satu faktor utama sistem saliran sedia ada tidak mampu menampung limpahan setiap kali berlakunya hujan lebat.

Justeru , GAT Asia tampil menawarkan solusi dan kaedah yang menyeluruh serta sedia bekerjasama dengan pihak kerajaan pusat di peringkat kementerian dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menyelesaikan isu-isu berkenaan banjir kilat di seluruh negara terutama di kawasan bandar-bandar utama di negara ini.

“Berbekalkan pengalaman, pengetahuan, sumber, kemahiran dan teknologi terkini, GAT Asia sedia memberi sumbangan kepada kerajaan dan bertindak secara kolektif bagi menyelesaikan masalah berkenaan sistem saliran untuk tebatan banjir negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut Ammar lagi, sudah tiba masanya untuk kerajaan mengkaji semula sistem pengurusan mitigasi banjir serta penambahbaikan sistem saliran utama yang berkesan untuk tebatan banjir terutama di ibu-ibu kota utama.

Sementara itu katanya, kejadian banjir kilat semakin kerap dilaporkan di dada akhbar sejak kebelakangan ini, yang turut menimbulkan kerisauan bagi kebanyakan penduduk berisiko.

Semalam, hujan lebat berterusan yang menyebabkan banjir kilat melanda beberapa kawasan di bandar raya Johor Bharu malah ia disifatkan sebagai antara yang terburuk pernah berlaku dalam tempoh 10 tahun.