PAS Terengganu Usah Mundurkan Demokrasi – MUDA

KUALA LUMPUR – Parti MUDA menganggap keputusan PAS tidak mahu meminda undang-undang negeri berkaitan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti sebagai usaha parti Islam itu memundurkan demokrasi negeri Terengganu.

Ketua Penerangan MUDA, Luqman Long membangkitkan dua persoalan pokok kepada Kerajaan PAS Terengganu iaitu adakah ini gambaran kepada pegangan PAS dalam isu lompat parti memandangkan Terengganu juga adalah negeri di mana Presiden Pas sendiri, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkhidmat sebagai Parlimen Marang?

Manakala soalan kedua, adakah Kerajaan PAS Terengganu menganggap bahawa rakyat Negeri Terengganu tidak mempunyai pengetahuan dan tuntutan terhadap isu Ahli Parlimen dan ADUN yang melompat parti?

“Saya menganggap keputusan ini adalah usaha PAS memundurkan demokrasi negeri Terengganu,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Rabu lalu media melaporkan, Kerajaan Terengganu tidak berhasrat untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan lompat parti pada persidangan DUN akan datang.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satipul Bahari Mamat berkata, kerajaan negeri tiada keperluan untuk meminda Undang-Undang Tubuh Negeri bagi membolehkan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen, termasuk Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) bertukar parti dikuat kuasakan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri akan akur jika terdapat arahan daripada pucuk pimpinan parti di peringkat pusat.

“Jika parti di peringkat pusat arahkan agar pindaan RUU berkaitan larangan lompat parti dibentangkan untuk meminda Undang-Undang Tubuh negeri pada persidangan DUN, kita akan akur.

“Kita berpendapat, tiada keperluan untuk kerajaan negeri bentangkan RUU ini pada persidangan DUN akan datang,” katanya.