Henti Prosiding Mahkamah Terhadap 4 ADUN, Bersatu Gesa Kerajaan Pulau Pinang

CYBERJAYA: Kerajaan Pulau Pinang digesa tidak meneruskan prosiding Mahkamah ke atas 4 ADUN Bersatu di negeri itu kerana melompat parti.

Exco Armada Bersatu Nasional, Harris Idaham Rashid dalam satu kenyataan media hari ini berkata, pindaan Perlembagaan Persekutuan (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti telahpun diluluskan di Dewan Rakyat memberi makna yang jelas berkenaan tindakan-tindakan yang boleh melucutkan seseorang itu daripada terus menjadi Ahli Parlimen. Parti Pribumi Bersatu Malaysia jelasnya menyokong penuh pindaan ini.

Pindaan ini katanya lagi, jelas menyatakan bahawa seseorang itu TIDAK gugur sebagai Ahli Parlimen sekiranya orang itu dipecat oleh Parti politik yang dianggotai. Antara lain, seorang Ahli Parlimen juga TIDAK gugur sebagai Ahli Parlimen sekiranya parti politik yang dianggotainya membuat keputusan dasar untuk menukar penjajaran dan sokongan terhadap sesebuah gabungan.

Kes yang melibatkan empat Ahli Undangan Negeri Pulau Pinang tambahnya, jatuh dibawah pengecualian pindaan Perlembagaan Persekutuan Artikel 49A. Parti yang dianggotai oleh ADUN Bertam & Telok Bahang telah membuat keputusan dasar untuk menarik sokongan terhadap Pakatan Harapan. ADUN Seberang Jaya & Sungai Acheh telah dipecat oleh Parti Keadilan Rakyat.

Justeru, sayap ARMADA BERSATU ingin menegaskan supaya Kerajaan Negeri Pulau Pinang menghentikan hasrat untuk menyambung prosiding di Mahkamah untuk membatalkan kelayakan 4 ADUN
tersebut kerana pindaan Perlembagaan Persekutuan mendapati bahawa tindakan-tindakan tersebut tidak sama sekali menjejaskan kelayakan seseorang sebagai wakil rakyat.

Memandangkan Pakatan Harapan khususnya DAP telah menyokong penuh pindaan tersebut di Dewan Rakyat, mereka
perlu membuktikan komitmen mereka dan melaksanakan pindaan yang sama di peringkat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang serta tidak melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan
pindaan tersebut demi menghormati persetujuan yang telah dicapai
oleh kesemua 209 Ahli Parlimen yang mengundi pindaan tersebut termasuklah Ahli Parlimen dari DAP sendiri.