Artis sokong tolak rokok

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kehilangan insan tersayang akibat rokok dan merasai kesan buruk merokok tatkala usia meniti senja, menjadi antara kisah dikongsi selebriti yang menyokong usaha kerajaan melindungi generasi muda daripada bahaya rokok.

Rata-rata artis menyokong langkah kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang disifatkan tepat pada masanya, apatah lagi ketika rakyat yang diuji pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu, makin memberi perhatian kepada kesihatan dan gaya hidup sihat.

Pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi berkongsi kisah duka apabila bapa dan dua abangnya meninggal dunia dipercayai berpunca daripada tabiat merokok.

Memandang serius usaha dilakukan kerajaan bagi memastikan generasi muda tidak terjebak dengan budaya rokok, Aznil atau mesra disapa Pak Nil memuat naik rakaman video yang dibuat pada 2019 mengenai bahaya rokok di IG.

“Saya muat naik sedutan video lama daripada sesi ‘live’ IG bagi menyokong usaha kerajaan. Saya buat sesi ‘live’ itu selepas pemergian abang kedua pada 17 Ogos 2019.

“Ketika itu, saya sedih dan kecewa disebabkan rokok, ia membinasakan hidup. Malah, lebih teruk hingga membawa maut. Saya sudah hilang bapa dan abang kerana rokok, jadi jangan kita biarkan orang tersayang berdepan nasib sama,” katanya kepada BH Online.

Aznil berkata, hanya Tuhan tahu derita dilalui apabila insan tersayang pergi akibat kesan tabiat merokok hingga menjejaskan paru-paru, terkena angin ahmar dan kanser.

Berkongsi pengalaman sendiri, Aznil mengaku pernah menjadi perokok tegar selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Apabila melangkah ke alam pekerjaan pada 1984, lagilah hebat. Saya jadi perokok tegar kerana sudah ada duit sendiri dalam tangan.

“Namun, sekembali daripada menunaikan umrah pada 2005, saya pasang niat untuk berhenti. Alhamdulillah, Tuhan permudahkan niat itu.

“Sekarang ini, saya alah bau rokok, malah tidak suka. Tengok orang merokok pun saya jelak,” katanya.

 

Rosyam pernah menjadi perokok tegar sejak memulakan tabiat buruk itu pada usia 18 tahun. - Foto IG Rosyam Nor
Rosyam pernah menjadi perokok tegar sejak memulakan tabiat buruk itu pada usia 18 tahun. – Foto IG Rosyam Nor

 

Sementara itu, penerbit dan pelakon, Datuk Rosyam Nor, 55, mengaku pernah menjadi perokok tegar sejak memulakan tabiat itu pada usia 18 tahun.

Rosyam mengaku banyak wang dihabiskan penangan ketagihan produk campuran tar dan nikotin itu.

“Usaha gubal RUU saya sokong 300 peratus. Saya merokok sejak usia 18 tahun, sudah banyak duit habis. Sekarang, umur 55 tahun, sudah semput. Bayangkan, naik tangga pun semput dan macam-macam lagi,” katanya.

Rosyam berharap rakyat Malaysia dapat menyokong usaha kerajaan itu yang bakal membawa kebaikan untuk semua.

“Saya sokong RUU ini supaya semua rakyat Malaysia sihat. Apa yang beliau (Khairy) buat, bukan untuk keburukan, sebaliknya, kebaikan.

“Jika Khairy sediakan insentif untuk rakyat berhenti merokok, saya terlebih dahulu pergi mendaftar,” katanya.

Bakat muda, Khai Bahar mengaku berhenti merokok pada 2019 selepas menyedari keburukan amalan itu.

“Alhamdulillah, kempen tolak rokok sangat diperlukan bagi memberi kesedaran berterusan mengenai bahaya kandungan nikotin dalam puntung rokok.

“Asap rokok mampu memberi kesan terhadap orang sekeliling yang tidak merokok. Kita tidak mahu nyawa melayang begitu sahaja. Apatah lagi kepada mereka yang tidak merokok. Jadi, fikirlah orang lain dan usah pentingkan diri sendiri,” katanya.

 

Khai berhenti merokok pada 2019 selepas menyedari keburukan amalan itu. - Foto IG Khai Bahar
Khai berhenti merokok pada 2019 selepas menyedari keburukan amalan itu. – Foto IG Khai Bahar

 

Khai mengaku proses untuk berhenti merokok bukan mudah.

“Namun, saya berjaya membuktikannya. Saya doakan jika ada keinginan berhenti merokok, semoga prosesnya dipermudahkan.

“Terus istiqamah jika berjaya berhenti merokok agar persekitaran kita terus sihat. Ini terutama bagi keluarga dan anak kecil,” katanya.

Khai atau nama sebenar, Muhammad Khairul Baharuddin mengaku banyak hikmah dinikmati selepas berhenti merokok.

“Satu daripadanya, vokal saya. Ada yang puji, vokal saya semakin kemas dan baik.

“Saya mengaku apabila tidak merokok, saya lebih selesa ketika buat persembahan. Saya dapat rasa nafas lebih panjang dan tidak tersekat,” katanya.

Selasa lalu, Dewan Rakyat bersetuju RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen untuk diteliti serta membuat syor penambahbaikan.

Usul RUU berkenaan yang kini masih berada pada peringkat bacaan kedua, dilaporkan dipersetujui sebulat suara oleh Ahli Parlimen untuk dirujuk ke jawatankuasa berkenaan selepas ia dibahas 12 Ahli Parlimen, seterusnya digulung oleh Khairy.

Melalui RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, Individu yang didapati menjual atau mempamerkan produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau kepada mereka yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya, dicadang didenda tidak lebih RM20,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Rekod Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendapati tabiat merokok membunuh lebih lapan juta penduduk dunia setiap tahun, termasuk 1.2 juta perokok pasif.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat