KUALA LUMPUR, – Wartawan veteran dan tokoh media negara, Datuk A. Kadir Jasin menegur kecenderungan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang sering mengelirukan rakyat dengan angka pelaburan besar yang belum tentu menjadi kenyataan.
Dalam satu kenyataan di media sosial hari ini, beliau mengingatkan bahawa laporan sidang akhbar atau kenyataan rasmi tidak harus diterima bulat-bulat tanpa penyelidikan latar belakang dan analisis menyeluruh.
“Kita tidak akan menghadiri sidang akhbar tanpa terlebih dahulu membuat penyelidikan latar belakang. Kita tanya soalan bertubi-tubi untuk mendapatkan maklumat yang banyak dan lengkap,” katanya mengimbau amalan kewartawanan yang dipelajarinya sejak menyertai Bernama pada 1969.
Mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan ke Itali baru-baru ini yang menyatakan potensi pelaburan bernilai RM8.13 bilion, Kadir menegaskan angka itu bersifat “potensi” semata-mata bukan jaminan pelaksanaan.
“Kalau kita buat analisis berdasarkan sejarah dan fakta, anggaran RM8.13 bilion FDI dari Itali itu macam berlebih-lebih dan susah dijustifikasikan,” katanya sambil merujuk kepada data terdahulu bahawa hanya terdapat 77 projek pengilangan Itali di Malaysia dengan nilai pelaburan sekitar RM1.4 bilion setakat 2022.
Menurut beliau, anggaran potensi pelaburan sering dibuat oleh ahli politik dengan nilai yang tinggi bagi menunjukkan kejayaan, manakala pegawai kerajaan lebih cermat dan konservatif kerana bimbang dipersalahkan jika projek gagal dilaksanakan.
Malah, berdasarkan statistik semasa, hanya sekitar 77 peratus projek pengilangan FDI yang diluluskan kerajaan benar-benar direalisasikan.
“Kalau kita berminat atau berharap mendapat manfaat daripada pelaburan berbilion-bilion ringgit yang diuar-uarkan setiap kali para pembesar kita membuat lawatan rasmi ke luar negara, kita kenalah tahu sedikit sebanyak perbezaan antara potensi dan implementasi,” tegas beliau.
Tulisan tersebut dilihat sebagai satu peringatan agar laporan rasmi kerajaan diteliti dengan penuh tanggungjawab oleh media dan rakyat bagi mengelakkan kekeliruan antara jangkaan dan realiti.