Isham Jalil dedah diugut ‘tone down’ atau berdepan tindakan undang-undang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil mendedahkan beliau diberitahu bahawa Peguam Negara, Ahmad Terrirudin telah tukar fikiran dan akan terus mendakwanya atas tuduhan contempt of court atau menghina mahkamah dalam kes Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Isham, sebelum ini pada dua bulan lepas Peguam Negara telah memaklumkan kepada peguam beliau bahawa mereka menawarkan untuk menarik balik tuduhan ke atas saya asalkan Isham memohon maaf kepada mahkamah.

Maka katanya, Untuk mengurangkan kos guaman, beliau telah bersetuju dengan tawaran Peguam Negara tersebut dan telah mengemukakan representasi memohon maaf kepada mahkamah.

“Tadi saya telah dimaklumkan oleh peguam saya Tan Sri Azhar Azizan bahawa semalam Peguam Negara Ahmad Terrirudin telah tukar fikiran dan akan terus mendakwa saya atas tuduhan contempt of court atau menghina mahkamah dalam kes Datuk Seri Najib.

“Sebelum ini pada dua bulan lepas Peguam Negara telah memaklumkan kepada peguam saya bahawa mereka menawarkan untuk menarik balik tuduhan ke atas saya asalkan saya memohon maaf kepada mahkamah. Untuk mengurangkan kos guaman, saya telah bersetuju dengan tawaran Peguam Negara tersebut dan telah mengemukakan representasi memohon maaf kepada mahkamah.

“Namun hari ini Peguam Negara kata mereka mahu terus dakwa saya. Dulu mereka mulakan pendakwaan terhadap saya, selepas itu mereka tawarkan penarikan tuduhan jika saya mohon maaf, bila saya setuju untuk mohon maaf seperti yang mereka cadang, hari ini mereka kata mereka mahu terus dakwa pula. Saya tidak tahu permainan apa yang mereka mainkan ini. Mahkamah tidak boleh dijadikan tempat untuk permainan politik kerajaan,” tegas Isham.

Jelasnya, pada tahun lepas beliau telah mengkritik tiga orang hakim dalam kes Najib yang mana hakim-hakim ini telah tidak mengundurkan diri daripada menjadi hakim walaupun mereka atau keluarga mereka terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam kes yang diadili tersebut.

“Apabila berlaku sesuatu yang tidak adil atau tidak kena kepada sistem kehakiman, kita perlu tegur supaya mereka perbetul.

“Hakim-hakim bukan maksum. Sistem kehakiman adalah amat penting, jika rakyat lihat mereka tidak adil dan terus dalam ketidakadilan, maka undang-undang akan menjadi lebih sukar untuk ditegakkan.

“Mereka perlu perbetul apabila ditegur, bukan penjarakan orang yang menegur yang menyebabkan kepercayaan terhadap sistem kehakiman terus terhakis. Apabila saya komen, kerajaan melalui Peguam Negara kata kononnya saya telah menghina mahkamah dan menggugat kepercayaan terhadap institusi kehakiman, dan oleh itu kerajaan dan Peguam Negara ingin memenjara saya walaupun tiada satu pun laporan polis dibuat terhadap saya.

“Dan malam kelmarin sedang saya berkempen di Sungai Bakap, saya telah terima satu panggilan telefon ugutan (saksi ada di sebelah saya) bahawa jika saya tidak “tone down” atau diam maka tuduhan kes contempt ke atas saya akan diteruskan oleh Peguam Negara.

“Saya kata pada pengugut itu tidak mengapa, sila teruskan saya tidak akan diam dan saya akan lawan,” tegas Isham.

Hari ini beliau dimaklumkan bahawa Peguam Negara akan teruskan tuduhan kepada beliau dan mahu beliau bayar denda atau dipenjara.

“Jika saya bayar denda maksudnya saya mengaku salah dan berkemungkinan tidak boleh bertanding pilihanraya.

“Saya lihat mungkin inilah apa yang mereka mahu iaitu supaya saya tidak boleh bersuara dengan menyumbat saya dalam penjara. Saya lihat mereka sudah takut dan kecut perut apabila ramai rakyat bersuara tidak berpuas hati ke atas kerajaan.

“Jika saya mahu jawatan atau kes saya digugur saya boleh akur dan jilat sahaja kerajaan seperti yang dilakukan oleh UMDAP. Namun jika saya buat begitu bermakna saya akan gadaikan prinsip perjuangan dan masa depan dan nasib agama, bangsa dan tanah air kita.

“Saya tidak mahu gadai nasib dan masa depan anak-anak kita hanya untuk selamatkan tengkuk saya. Saya bukan Othman Wok, dan saya bukan Zahid Hamidi.

“Saya akan lawan ketidakadilan, pembohongan dan kezaliman-kezaliman pemimpin-pemimpin kerajaan ini supaya masa depan kita dan anak cucu kita menjadi lebih baik dari sekarang,” ujar Isham.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat