Tiga ADUN Selangor sahkan tak tanding PRN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tiga EXCO kerajaan negeri Selangor mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) disandang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Ketiga-tiganya ialah Datuk Teng Chang Khim, Dr Siti Mariah Mahmud dan V Ganabatirau.

Pada Disember 2020, Chang Khim yang memegang portfolio Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), pernah mengeluarkan kenyataan untuk tidak bertanding pada PRN.

Chang Khim, 60, memulakan kerjaya politiknya 28 tahun lalu dan sentiasa memenangi kerusi DUN ditandingi iaitu Bukit Gasing (1995-1999), Bandar Klang (1999-2004), Sungai Pinang (2004-2018) dan Bandar Baru Klang (2018-2023).

“Tiada perubahan kenyataan (tidak bertanding PRN), memang saya mengikut rancangan seperti diumumkan dulu, pendirian saya kekal.

“Inilah kemuncak saya di peringkat negeri dan saya tidak nampak ada peluang yang cemerlang untuk saya pergi ke Parlimen.

“Kalau sudah sampai kemuncak, lebih baik saya berundur supaya orang di belakang dapat peluang berkhidmat untuk negara,” katanya lapor BH pada Rabu.

Selain ADUN, beliau juga diberikan tanggungjawab sebagai Speaker DUN Selangor sebelum dilantik sebagai EXCO Kerajaan Negeri selama 10 tahun.

“Saya mempunyai kepuasan mencukupi melihat kepada apa yang inginkan, kebanyakannya sudah terlaksana dan berjalan lancar serta mantap,” katanya.

Beliau yang bersama DAP sejak 33 tahun lalu, kekal sebagai ahli DAP tetapi sudah melepaskan semua jawatan selain peluang dalam pemilihan parti itu tahun lalu.

Bagi Dr Siti Mariah, peluang tiga penggal menyandang pelbagai jawatan termasuk Ahli Parlimen, ADUN serta Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga adalah pengalaman berharga.

“Insya-Allah, betul (tidak bertanding PRN). Selepas ini saya lebih kepada membantu membimbing bakal pemimpin dan aktivis baharu dalam bidang politik terutama wanita.

“Saya tidak bercadang berehat terus, saya ada tugas-tugas lain tetapi tidak semestinya sebagai seorang ADUN atau EXCO kerajaan negeri Selangor.

“Saya ingin bersama kumpulan masyarakat terutama warga emas, menanam kepentingan kesihatan kepada mereka, bergerak dengan komuniti. Bila tidak aktif politik, saya boleh menegur dan memberi maklum balas kepada masyarakat,” kata Ketua Angkatan Wanita AMANAH itu.

Sementara itu, Ganabatirau yang memegang portfolio Pembangunan Sosio Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja, mengesahkan tidak bertanding dan hanya menurut perintah pucuk pimpinan.

“Ya (tidak bertanding PRN),” katanya ringkas tanpa mengulas lanjut.

Selain Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Ganabatirau juga adalah Naib Pengerusi DAP Negeri Selangor.

Dengan pengesahan itu, barisan Exco kerajaan Selangor penggal akan datang pastinya berubah jika gabungan PH-BN memenangi PRN dan kekal memerintah Selangor.

Selain Chang Khim, Dr Siti Mariah serta Ganabatirau, Exco Kerajaan Selangor dibarisi tujuh yang lain iaitu Izham Hashim, Rodziah Ismail, Hee Loy Sian, Ng Sze Han, Mohd Khairuddin Othman, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Borhan Aman Shah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat