Amalkan Semangat “Keluarga Dunia” Saran Ismail Sabri Kepada ASEAN

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyarankan komuniti antarabangsa bekerjasama dengan mengamalkan semangat “keluarga dunia.”

Saranan itu disuarakan beliau dalam Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik atau APR bagi mendepani cabaran global.

Kata Perdana Menteri, pandemik Covid-19 telah mengajar kita bahawa cabaran global yang berlaku dewasa ini tidak boleh diatasi secara bersendirian atau ‘silo’.

Justeru, menurut beliau ekonomi dan politik dunia kini berdepan dengan situasi pasca pandemik yang kompleks selain terdapatnya persaingan yang semakin sengit antara kuasa-kuasa besar dunia.

“Di Eropah, misalnya kita menyaksikan konflik yang memberikan kesan amat dahsyat bukan hanya kepada penduduk negara-negara terlibat tetapi tempiasnya turut dirasai di seluruh dunia.

“Berikutan itu, penting sekali bagi komuniti antarabangsa melipatgandakan persediaan berdepan dengan ketidaktentuan serta bekerjasama ke arah masa hadapan yang lebih aman, progresif, inklusif dan makmur.

“Di Malaysia, kami menjadikan semangat ‘Keluarga Malaysia’ untuk menjalin kerjasama yang inklusif; mementingkan kebersamaan dan bukannya perbezaan serta mengutamakan golongan yang paling memerlukan. Ternyata ia dapat membuka ruang ke arah mencapai jalan penyelesaian yang lebih baik.

“Justeru itu, saya juga menyarankan komuniti antarabangsa bekerjasama dengan mengamalkan semangat “keluarga dunia,” kata Ismail Sabri pada Selasa.

Malah menurut beliau lagi, dunia kini melalui hari-hari yang kritikal akibat peningkatan konflik politik sejagat seperti di Myanmar, Wilayah Palestin dan terbaharu perang Rusia-Ukraine yang mencetuskan krisis kemanusiaan.

Malaysia menegaskan perperangan dan keganasan perlu dihentikan segera dan prinsip-prinsip dalam undang- undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa- bangsa Bersatu (PBB) harus dipatuhi,” tegas beliau.

“Masyarakat antarabangsa pernah bersatu teguh menangani masalah sejagat dengan memberi bantuan kemanusiaan, namun mereka masih dibelenggu isu ketidak samarataan dalam menangani krisis politik tertentu seperti dalam membantu pelarian dengan membezakan mereka “yang boleh diterima” dan juga sebaliknya.

“Sehubungan itu, saya menggesa kita berpegang kepada nilai-nilai masyarakat antarabangsa yang inklusif dan mempunyai sikap perikemanusiaan sejagat serta tidak lagi mengulangi kesilapan-kesilapan lalu.

“Ketika persaingan antara kuasa-kuasa besar dunia menghasilkan cabaran yang tersendiri kepada rantau ini, ia tidak seharusnya memudaratkan,” kata Perdana Menteri.

Malah Ismail Sabri menyatakan, libat urus secara proaktif dengan kuasa-kuasa besar akan memberikan manfaat kepada rantau ini, dengan syarat kita mampu melakukannya.

Kata beliau, dalam situasi sebegini, rantau ASEAN seharusnya bersedia menghadapi persaingan kuasa-kuasa besar dengan bijak.

“Keutuhan ASEAN akan memberikan kesan positif kepada kita dan disebabkan itu ia perlu terus kukuh dan produktif serta kekal menjadi paksi kepada libat urus serantau ke arah membentuk norma-norma baharu di rantau ini,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Ismail Sabri juga memaklumkan, kepentingan China di rantau ini tidak boleh dinafikan dan sejak 2009 negara itu kekal menjadi rakan dagang utama ASEAN.

“Pada 2020, ASEAN mengatasi Kesatuan Eropah sebagai rakan dagang utama China.

“Melihat kepada ekonomi dan kedudukan strategik China, ASEAN berharap dapat mengekalkan hubungan yang positif dan stabil dengan Beijing.

“Dalam masa sama, ASEAN juga harus terus memperkemaskan hubungan ekonomi dan diplomatik
dengan Amerika Syarikat berdasarkan rasa saling hormat- menghormati dan semangat setiakawan yang tinggi,” saran beliau.

Amerika Syarikat, China dan Asia Tenggara harus memastikan semangat yang mengikat hubungan dua hala dan pelbagai hala dipelihara dan diperkukuhkan, berdasarkan kepada pematuhan undang-undang antarabangsa yang telah lama wujud,” kata Ismail Sabri.

“Walaupun kita berdepan dengan cabaran yang hebat, kita mesti terus cekal dan tabah serta sama-sama mencari jalan penyelesaian untuk menikmati masa depan yang lebih makmur, lestari dan saksama.

“Saya yakin platform seperti APR ini tentu akan terus memainkan peranan penting dalam proses ini,” ucapnya.