Rezeki berganda pengusaha tembikai

- Advertisement -

KUANTAN – Musim panas dan kering adalah waktu terbaik untuk tanaman tembikai berbuah dan hasilnya boleh meningkat hingga 50 peratus.

Dalam pada itu juga, rasa buah dihasilkan jauh lebih manis berbanding musim lain.

Keadaan cuaca panas ‘luar biasa’ sejak April lalu menjadikan permintaan terhadap buah tembikai meningkat dan memberikan limpahan rezeki kepada pekebun kecil tembikai di sekitar Kampung Ubai, dekat Pekan.

Husaini Abdullah, 46, yang berpengalaman lebih 10 tahun mengusahakan tembikai berkata, cuaca panas ketika ini adalah rahmat ‘tersembunyi’ bagi pekebun tembikai sepertinya.

“Permintaan meningkat dan memang cukup tinggi berbanding musim sebelum ini.

“Pemborong dan peruncit juga menambahkan jumlah pesanan kerana mereka boleh meraih untung berkali ganda berikutan permintaan tinggi,” katanya ketika ditemui di kebun miliknya.

Dia berkata, tempahan tembikai diusahakannya bukan sahaja datang daripada pemborong dari Kuantan, tapi turut mendapat tempahan peniaga dari Negeri Sembilan dan Selangor.

Husaini berkata, tanaman tembikai diusahakannya dua kali setahun, bermula hujung Disember hingga Mei.

Katanya, kebanyakan pengusaha berehat antara bulan Jun hingga Ogos, sebelum kembali mengusahakan tanaman itu pada bulan September.

“Biasanya pertengahan tahun, cuaca tidak menentu, jadi kualiti buah juga tidak berapa elok.

“Paling sesuai macam sekaranglah, kebetulan pula dengan cuaca panas, memang hasilnya (kualiti) sangat bagus,” katanya yang mengusahakan tenbikai jenis ‘Boci’.

Sementara itu, Muhammad Ameer Faris Muhamad Akhir, 25, berkata keadaan cuaca panas ketika ini membantu meningkatkan hasil pengeluaran hingga berlipat kali ganda.

“Di kebun saya ini terdapat kira-kira 1,500 pokok tembikai dan dianggarkan mampu menghasilkan sehingga 6,000 biji sepanjang musim ini.

“Walaupun harga tembikai sekarang ini lebih murah iaitu sekitar RM2 hingga RM3 sekilogram, namun disebabkan kuantiti buah dihasilkan pada musim ini lebih banyak ditambah dengan permintaan tinggi, jadi kami tetap mampu meraih keuntungan yang memuaskan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat