KUALA LUMPUR – Proklamasi Orang Melayu dianggap hanya sekadar provokasi untuk menganggu kelancaran Kerajaan Perpaduan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi mendakwa Proklamasi Orang Melayu
itu hanya gimik politik.
“Kalau ikut ‘track record’ sama ada PAS atau Tun Mahathir, kedua duanya tidak boleh dipercayai.
“Cukuplah sandiwara politik itu. Apatah lagi Tun Mahathirntidak memimpin mana mana parti politik. Proklamasi itu hanya provokasi untuk ganggu kelancaran Kerajaan Perpaduan,” kata Puad dalam kenyataan pada Jumaat.
Sementara itu, beliau turut mengimbau PAS pernah memeterai Proklamasi Muafakat Nasional bersama Umno.
“Air mata membasahi Dewan Merdeka. Tetapi selepas itu PAS khianati Umno kerana menyertai Perikatan Nasional (PN).
“Setahu kita Bersatu tolak kerjasama dengan Tun Mahathir. Maka sokongan beberapa pemimpin Bersatu secara individu tidak menampakkan kesepakatan.
“Persoalannya apakah PAS buta? Sepatutnya PAS tidak lupa Tun Mahathir menyokong ratifikasi ICERD dan Statut Rom. Umno dan PAS terpaksa bergabung menghalangnya,” katanya.
Baru-baru ini, Pemimpin PAS diketuai presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang tampil menyatakan sokongan dengan menandatangani Proklamasi Orang Melayu di hadapan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.



