CYBERJAYA: Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO (MT), Datuk Aziz Kaprawi mempersoalkan adakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah cengkaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kerana keeggananan mereka untuk tidak menyiasat dakwaan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Hamid Bador berkaitan kegiatan rasuah pemimpin politik mendapatkan sokongan.
Tegasnya, kegiatan merasuah pemimpin politik untuk mendapatkan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) terutamanya PPBM adalah amat membimbangkan.
Aziz mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki melalui beberapa kenyataan media sebelum memberi alasan bahawa SPRM hanya akan memulakan siasatan sekiranya melibatkan pembayaran wang oleh mana-mana pihak.
“Dakwaan Hamid Bador mengenai wujud campur tangan politik dalam penjawatan kanan PDRM turut dipandang remeh dan hanya menyatakan bahawa ia perlu diselesaikan secara dalaman oleh PDRM.
“Di dalam laman web SPRM sendiri telah menjelaskan bahawa terdapat lapan (8) jenis pemberian rasuah iaitu wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah, dan diskaun. Mustahil seorang Ketua Pesuruhjaya tidak mengetahui perkara ini. Ia tidak semestinya melibatkan wang ringgit sahaja!,” tegasnya.
Menurut Aziz lagi, Ini tidak termasuk lagi dengan pelbagai dakwaan lain yang tular sebelum ini mengenai ugutan kerajaan pemerintah terutamanya semasa pemerintahan PH demi mendapatkan sokongan pemimpin politik.
Jelasnya lagi tindakan ini telah memberi gambaran kepada rakyat bahawa SPRM berada di bawah ‘cengkaman’ Kerajaan PN terutamanya PPBM selaku parti pemerintah.
“SPRM kelihatan seperti terpaksa mengeluarkan alasan-alasan yang tidak munasabah hanya kerana dakwaan tersebut melibatkan PPBM.
“Saya ingin mendesak YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga merupakan Presiden PPBM untuk tamatkan segera campur tangan politik terhadap mana-mana institusi penguatkuasa sekiranya ada.
“Jangan perlakukan institusi seperti SPRM, PDRM, LHDN dan lain-lain seperti alat politik peribadi semata-mata untuk melindungi kepentingan diri dan parti,” ujarnya.
Kata Aziz lagi, seluruh dunia sedang memerhatikan perkembangan isu ini dan tidak mustahil ia boleh menjejaskan keyakinan pelabur asing terhadap kewibawaan Malaysia yang mana turut menjejaskan ekonomi negara yang ketika ini sudahpun di dalam keadaan tenat.
Sudahlah perang melawan COVID19 ketika ini menemui kegagalan, ekonomi juga tidak mampu diupayakan, dan kini imej negara pula semakin hancur!,” sindirnya. -SuaraTV