Tribunal Sukan Antarabangsa sahkan pemalsuan dokumen dalam kes pemain naturalisasi Malaysia

LAUSANNE, – Tribunal Sukan Antarabangsa, Mahkamah Timbang Tara Sukan (Court of Arbitration for Sport, CAS) mengesahkan bahawa kes pemalsuan dokumen kelayakan dalam proses naturalisasi pemain yang membolehkan mereka bermain untuk Malaysia memang berlaku, sekali gus mengekalkan dapatan awal yang dibuat oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Dalam keputusan yang diumumkan hari ini, panel CAS mendapati pelanggaran berkaitan pemalsuan dokumen naturalisasi dan kelayakan telah terbukti. Namun tribunal tersebut meminda sebahagian hukuman terhadap tujuh pemain yang terlibat dengan mengehadkan penggantungan selama 12 bulan kepada perlawanan rasmi sahaja, dan bukan kepada semua aktiviti bola sepak.

Ini bermakna pemain terbabit masih boleh berlatih serta meneruskan aktiviti bersama kelab masing-masing sepanjang tempoh penggantungan.

Pada masa sama, rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ditolak dan denda sebanyak CHF350,000 yang dikenakan oleh FIFA terhadap badan induk bola sepak negara itu dikekalkan.

Menurut kenyataan CAS, kes tersebut berpunca daripada proses naturalisasi tujuh pemain asing yang didapati menggunakan dokumen kelayakan yang dipalsukan walaupun mereka tidak mempunyai kaitan sebenar dengan Malaysia.

Tujuh pemain yang terlibat ialah Facundo Tomás Garcés Rattaro, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Gabriel Felipe Arrocha, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Pada 25 September 2025, Jawatankuasa Disiplin FIFA memutuskan bahawa FAM dan pemain-pemain tersebut melanggar Kod Disiplin FIFA kerana menggunakan dokumen yang dipalsukan dalam proses naturalisasi dan penentuan kelayakan untuk mewakili Malaysia.

Keputusan itu kemudian disahkan oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA pada 3 November 2025 yang mengekalkan denda CHF350,000 terhadap FAM serta mengenakan denda CHF2,000 dan penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak terhadap setiap pemain.

FAM dan pemain terlibat memfailkan rayuan kepada CAS pada 5 Disember 2025. Dalam rayuan tersebut, FAM mengakui wujud “kelemahan institusi” dalam proses berkenaan namun menyatakan pemain hanya mempunyai peranan terhad dalam penyediaan dokumen yang diminta oleh persatuan.

FAM turut memohon supaya keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA diketepikan dan hukuman terhadap persatuan dikurangkan kepada denda tidak melebihi CHF50,000.

Sementara itu, pemain-pemain berkenaan meminta supaya keputusan FIFA dibatalkan sepenuhnya atau sekurang-kurangnya hukuman dikurangkan dengan alasan mereka tidak bertindak dengan niat atau kecuaian.

Kes rayuan tersebut didengar oleh panel timbang tara CAS yang dipengerusikan oleh Lars Hilliger dari Denmark bersama dua ahli panel iaitu José Luis Andrade dari Portugal dan Massimo Coccia dari Itali dalam prosiding yang berlangsung pada 26 Februari 2026 di ibu pejabat CAS di Lausanne, Switzerland.

Dalam keputusan akhirnya, CAS menegaskan bahawa kesalahan pemalsuan dokumen kelayakan memang terbukti dan hukuman penggantungan 12 bulan adalah wajar. Namun tribunal itu memutuskan larangan tersebut hanya terpakai kepada perlawanan rasmi.

Tempoh penggantungan tersebut bermula 5 Mac 2026 dengan mengambil kira tempoh penggantungan yang telah dijalani sebelum ini antara 25 September 2025 hingga 26 Januari 2026.

CAS memaklumkan bahawa keputusan penuh berserta alasan terperinci akan dikeluarkan kemudian, manakala kenyataan yang dikeluarkan hari ini merupakan ringkasan tidak rasmi untuk kegunaan media.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat