Sabah memainkan peranan penting capai sasaran pengurangan pelepasan mutlak Malaysia di bawah NDC 3.0

KOTA KINABALU, – Sabah memainkan peranan penting dalam usaha Malaysia mencapai sasaran pengurangan pelepasan gas rumah kaca secara mutlak di bawah komitmen baharu negara kepada Perjanjian Paris melalui Nationally Determined Contributions (NDC 3.0).

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup, berkata kerajaan Persekutuan kini sedang mengalihkan pendekatan daripada sasaran intensiti pelepasan kepada laluan pengurangan pelepasan mutlak bagi memperkukuh komitmen iklim negara.

Beliau berkata pelepasan gas rumah kaca negara dijangka mencapai kemuncak antara tahun 2029 hingga 2034 sebelum usaha pengurangan secara lebih agresif dilaksanakan dengan sasaran mengurangkan antara 15 hingga 30 juta tan karbon dioksida setara menjelang tahun 2035.

Menurutnya, Sabah mempunyai kedudukan strategik dalam mencapai matlamat tersebut memandangkan negeri itu memiliki kawasan hutan yang luas serta sumber karbon biru yang signifikan.

“Ekosistem hutan Sabah yang luas serta sumber karbon biru meletakkan negeri ini dalam kedudukan penting untuk menyumbang secara bermakna kepada usaha mitigasi dan adaptasi perubahan iklim negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi Communication, Education and Public Awareness (CEPA) yang diadakan di Kota Kinabalu.

Arthur berkata antara langkah penting yang sedang dilaksanakan kerajaan ialah pembentangan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) yang dijadualkan dibentangkan pada Sidang Kedua Parlimen pada Jun 2026.

Rang undang-undang itu dijangka menjadi kerangka perundangan utama di peringkat Persekutuan bagi menyelaras dasar perubahan iklim negara dengan pelbagai inisiatif di peringkat negeri.

Menurut beliau, rangka kerja tersebut akan diselaraskan dengan undang-undang di Sabah termasuk Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025 bagi memastikan ekosistem perundangan yang saling melengkapi antara kerajaan Persekutuan dan negeri.

Dalam masa sama, kementerian juga sedang memuktamadkan Dasar Pasaran Karbon Negara (DPKK) yang bertujuan menyediakan hala tuju yang jelas bagi pembangunan mekanisme pasaran karbon di Malaysia.

Dasar itu dijangka membantu meningkatkan integriti alam sekitar serta keyakinan pelabur selain melengkapi pendekatan tadbir urus karbon yang sedang dibangunkan di Sabah.

Arthur turut menegaskan bahawa penyelarasan antara dasar Persekutuan dengan pelan pembangunan negeri seperti Sabah Maju Jaya 2.0 penting bagi menyediakan kepastian dasar kepada pelabur untuk mempercepatkan pelaburan hijau di negara ini.

Selain itu, kementerian juga sedang memuktamadkan Pelan Tindakan Gender serta Pelan Tindakan Peralihan Adil bagi memastikan tindakan iklim dilaksanakan secara inklusif dan adil kepada semua lapisan masyarakat.

Sesi CEPA tersebut turut mendapat sokongan United Nations Development Programme melalui program Climate Promise yang bertujuan memperkukuh usaha negara dalam memenuhi komitmen perubahan iklim di bawah Perjanjian Paris.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat