KUALA LUMPUR – Selain dialu-alukan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Bendahari Agung Pas Datuk Iskandar Samad juga berharap Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menurut Iskandar, sama ada anda bersetuju atau tidak dengan rumusan tersebut, tidak dapat dinafikan pelantikan Samsuri telah mencetuskan satu gelombang baharu.
“Pelantikan Samsuri sebagai Pengerusi PN dialu-alukan oleh mereka yang mahu melihat perubahan di negara kita.
“Malah bukan sahaja mengalu-alukan tetapi mengharapkan beliau menjadi PM selepas pilihan raya umum akan datang.
“Ada yang telah membuat perbandingan di antara beliau dan PMX lalu membuat rumusan bahawa Dr Sam, nama mesra beliau di dalam dunia politik, adalah lebih layak.
“Sama ada anda menyokong PN atau tidak, anda tentu bersetuju Dr Sam memiliki aura yang tersendiri walaupun beliau bukan seorang pemidato yang berapi-api.
Mungkin kerana itu terdapat serangan-serangan terhadap Terengganu untuk mematikan gelombang Dr Sam yang sedang melanda,” katanya.
Kata bekas Exco Selangor itu lagi, ada yang berkata kedudukan Dr Sam sebagai Pengerusi PN bukan satu jaminan beliau akan menjadi calon PM.
“Walau bagaimanapun selepas pilihan raya umum yang lepas di mana PN tercari-cari akan calon PM yang dapat menandingi PMX, kemunculan Dr Sam adalah bagaikan fajar yang terbit memecahkan kegelapan.
“Pandangan yang bertentangan dengan harapan rakyat ini tidak akan sama sekali melunturkan semangat dan keyakinan rakyat yang mengimpikan Dr Sam menerajui Putrajaya,” katanya.



