KUALA LUMPUR – Polis sudah merakam kenyataan daripada seorang individu yang didakwa terkait dengan komplot untuk menjatuhkan kerajaan membabitkan kumpulan Zionis terkemuka.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, individu rakyat tempatan itu memberikan keterangan secara sukarela kepada pihaknya pada 26 Februari lalu, iaitu pada hari laporan polis mengenainya dibuat.
Beliau berkata, PDRM sudah mendapat beberapa nama yang dipanggil untuk memberi kenyataan membabitkan dakwaan seorang isteri bekas Menteri bersekongkol dengan beberapa pihak lain dari luar negara termasuk kelompok Zionis terkemuka untuk menjatuhkan kerajaan.
Katanya, pihaknya akan memanggil tiga atau empat orang lagi untuk memberi keterangan.
“Kita dah dapat beberapa nama-nama, saya sedang berusaha untuk dapatkan kenyataan-kenyataan daripada mereka yang berkaitan lah.
“Setakat ini kita baru ambil (keterangan daripada) seorang tapi kita ada lagi dalam tiga empat orang lagi yang perlu kita panggil untuk beri kenyataan,” katanya kepada pemberita di Putrajaya lapor BH pada Khamis.
Beliau ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Pada 3 Mac baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan cubaan menjatuhkan kerajaan yang kini dalam siasatan polis bukan hanya melibatkan pihak luar negara yang bersekongkol dengan warga tempatan, malah ada pembabitan secara langsung kelompok Zionis terkemuka.
Anwar memberitahu, semua pihak perlu memberi sedikit masa lagi untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatannya, sebelum maklumat itu dapat dikongsi kepada umum, jika bersesuaian termasuk kepada Ahli Parlimen.



