Petrol Singapura lonjak lebih RM11 seliter impak krisis Iran-AS

KUALA LUMPUR – Pemandu kenderaan di Singapura terpaksa berdepan dengan lonjakan kos perbelanjaan apabila sebahagian besar syarikat minyak utama menaikkan harga runcit petrol dan diesel di pam.

Kenaikan mendadak ini dilaporkan berpunca daripada ketegangan geopolitik yang semakin meruncing di Asia Barat, sekali gus mengganggu rantaian bekalan dan menolak harga tenaga global ke paras yang lebih tinggi.

Memetik data daripada Price Kaki – sebuah aplikasi pemantau harga seliaan Persatuan Pengguna Singapura (CASE) – aliran peningkatan harga ini telah direkodkan merentasi hampir semua stesen bekalan bahan api utama di seluruh republik itu.

Bagi bahan api gred RON 92, harga di stesen Caltex dan Esso kini dinaikkan kepada S$2.88 (RM8.89) seliter. Shell dan Sinopec bagaimanapun tidak menawarkan petrol untuk gred berkenaan.

Untuk petrol RON 98 (biasa), stesen minyak SPC buat masa ini menawarkan harga terendah pasaran iaitu pada S$3.38 (RM10.44) seliter. Harga bagi gred yang sama di Esso dan Sinopec pula naik kepada S$3.42 (RM10.56) seliter, manakala Shell merekodkan harga tertinggi pada S$3.44 (RM10.62) seliter.

Sementara itu, petrol gred premium RON 98 turut menerima tempias kenaikan yang ketara. Bahan api itu kini diniagakan pada paras antara S$3.55 (RM10.96) seliter di Sinopec, hingga menjangkau S$3.66 (RM11.30) seliter di stesen Shell.

Pengguna kenderaan komersial turut terkesan apabila harga diesel di Esso, Caltex, dan Shell mencatatkan kenaikan sebanyak S$0.13 (RM0.40) kepada S$2.70 (RM8.34) seliter, lapor BH pada Khamis.

Pakar pasaran mengaitkan lonjakan harga pam ini dengan konflik berterusan di rantau Asia Barat yang telah menjejaskan kelancaran trafik maritim dengan teruk, terutamanya di sekitar Selat Hormuz.

Selat yang memisahkan Iran dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Oman itu adalah laluan perkapalan kritikal yang mengendalikan kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan bekalan minyak dunia.

Sebagai rekod, kali terakhir pengguna di Singapura berdepan harga bahan api pada paras tertinggi adalah pada tahun 2022. Ketika itu, petrol premium V-Power 98-oktana keluaran Shell melonjak ke paras rekod S$4.04 (RM12.48) seliter ekoran kejutan bekalan akibat perang Russia-Ukraine.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Singapura, Gan Kim Yong, turut menyuarakan amaran bahawa krisis berpanjangan di Asia Barat berisiko melonjakkan lagi harga tenaga dunia, yang akhirnya boleh memberi tekanan kepada prospek pertumbuhan ekonomi republik berkenaan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat