KUALA LUMPUR, – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menegaskan bahawa kenyataan Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) adalah selari dengan penjelasan yang diberikan oleh pimpinan PAS.
Menurut beliau, Muhyiddin sebelum ini menjelaskan bahawa pelantikan Samsuri sebagai Pengerusi PN tidak berkaitan dengan penentuan calon Perdana Menteri bagi gabungan tersebut.
Katanya, kenyataan itu konsisten dengan penjelasan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan bahawa pelantikan Menteri Besar Terengganu itu lebih bertujuan memperkukuh gabungan PN dengan membina semula kekuatan di peringkat akar umbi di seluruh negara.
“Menurut Tuan Ibrahim, soal ‘poster boy’ untuk calon Perdana Menteri bukanlah pertimbangan PAS ketika mencadangkan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tun Faisal berkata, berdasarkan maklumat daripada Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN yang berlangsung pada 22 Februari lalu, perkara berkaitan calon Perdana Menteri memang tidak dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.
Sebaliknya, katanya, jawatan Pengerusi PN lebih tertumpu kepada aspek pentadbiran serta pengurusan operasi harian gabungan itu.
“Ini menunjukkan bahawa kenyataan Tan Sri Muhyiddin adalah konsisten dengan apa yang telah dijelaskan oleh pimpinan PAS sendiri,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa isu calon Perdana Menteri tidak seharusnya dipolemikkan kerana BERSATU telah membuat keputusan jelas mengenai perkara itu melalui platform tertinggi parti.
Menurutnya, calon Perdana Menteri bagi BERSATU telah dibawa ke Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU 2025 untuk diputuskan oleh perwakilan parti.
“Perkara ini telah diusul, dibahas dan diputuskan dalam PAT2025 dan keputusan sebulat suara perhimpunan tersebut adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 bagi BERSATU,” katanya.
Tun Faisal menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat berdasarkan merit termasuk pengalaman panjang Muhyiddin di peringkat kerajaan Persekutuan dan negeri, keupayaan beliau mengurus krisis serta hasil kaji selidik yang menunjukkan tahap penerimaan rakyat terhadap kepimpinan beliau.
Dalam masa sama, beliau berkata penentuan calon Perdana Menteri bagi Perikatan Nasional perlu dibincangkan dan diputuskan secara konsensus oleh Majlis Presiden PN.
Menurutnya, mana-mana parti komponen yang ingin mencalonkan pemimpin mereka sebagai calon Perdana Menteri perlu terlebih dahulu membawa cadangan tersebut ke perhimpunan agung parti masing-masing sebelum dikemukakan kepada Majlis Presiden PN untuk dipertimbangkan secara bersama.
“Sekiranya ada pencalonan nama lain termasuk Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, sebaiknya ia melalui proses yang sama iaitu dicadangkan oleh PAS sebagai calon Perdana Menteri bagi parti itu terlebih dahulu sebelum diangkat kepada Majlis Presiden PN untuk diputuskan secara konsensus,” katanya.



