Putrajaya: Bekas penyampai radio, Tuah Zolqarnain Idris atau Tyzo Xander menyertai stesen radio IKIMfm.
Ia sekali gus menamatkan spekulasi ramai peminat yang menantikan stesen terbaru disertai Tyzo selepas kontrak bersama Suria FM tamat, Sabtu depan.
Pengumuman dibuat Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Profesor Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil pada Majlis Penjenamaan Semula & Pelancaran Logo IKIMfm di Dewan Abdullah Al-Bukhari, Kompleks Nasyrul Quran, di sini, pada Isnin.
Tyzo akan tampil mengendalikan segmen Inspirasi Pagi IKIMfm bergandingan bersama Suffian Amrin dan Luqman Hakim dari jam 6 hingga 10 pagi, setiap Isnin hingga Jumaat bermula Isnin depan.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Dr Mohamed Azam yang membuka peluang kepadanya menyertai IKIMfm.
Pemenang Penyampai Radio Terbaik di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-35 ini berkata dia sudah cukup bersedia untuk tampil sebagai penyampai di IKIMfm dengan membawakan sisi yang berbeza yang tidak pernah ditonjolkan sebelum ini ketika beliau bertugas di stesen-stesen radio lain.
“Walaupun IKIMfm mengetengahkan genre sedikit berbeza daripada stesen-stesen radio yang pernah saya bertugas sebelum ini, namun pengalaman 21 tahun di dalam dunia penyiaran radio ini memberi keyakinan kepada saya untuk berikan yang terbaik kepada pendengar.” Katanya ketika ditemui di sini hari ini, memetik TVIKIM.
Tyzo percaya dengan setiap yang pernah berlaku dalam hidup beliau telah menjadikan beliau penyampai radio yang lebih matang dan lebih memandang ke hadapan bukan hanya untuk kerjaya malah untuk perjalanan kehidupannya juga.
“Saya berharap peluang saya berada di IKIMfm ini akan menaikkan martabat IKIMfm bukan sekadar radio untuk didengari oleh umat Islam sahaja tetapi akan menjadi radio rujukan utama semua lapisan pendengar di Malaysia. Sudah tiba masanya untuk saya menyumbang kelebihan bakat dan kemahiran yang saya ada untuk agama dan negara.” Ujar beliau mengakhiri temubual
“Selepas saya tamat kontrak dengan Suria FM, ada beberapa pihak menghubungi saya bertanyakan mengenai perancangan dan sebagainya.
“Dari situ bermula perbincangan dan alhamdulillah akhirnya saya buat keputusan sertai IKIMfm kerana saya yakin ia memberikan yang terbaik kepada saya menuju ke arah yang baik.
“Selama ini saya mungkin lebih banyak kepada hiburan, tapi saya percaya pendengar-pendengar IKIMfm juga perlukan hiburan dan tapi dalam cara yang lebih segar,” ujarnya kepada media.
Katanya, dia perlu mengkaji karakter pasangan kontinya selepas menukar karakter lamanya yang agak gila-gila dan kadangkala cakap lepas.
“Sebelum ini saya dengan Sharifah Shahirah atau Kak Rara ikut konsep program. Kali ini saya akan kaji karakter Suffian dan Luqman agar dapat bentuk keserasian dengan mereka.
“Sememangnya saya amat berbesar hati untuk bersama IKIMfm kerana saya dah lebih dua bulan tidak bersiaran,” jelasnya.