KUALA LUMPUR- Sekiranya ada pihak yang sorok dan tidak melaksanakan titah diraja, itu derhaka namanya.
Bahkan ia adalah satu kesalahan besar, kata bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Isham Jalil.
“Semalam dalam Dewan Rakyat, Speaker tidak membenarkan isu addendum dibangkitkan. Beliau juga tidak benarkan ahli-ahli Parlimen guna perkataan “derhaka” dalam isu addendum.
“Ahli-ahli Parlimen PH dan kerajaan koyak rabak bila dengar perkataan “addendum” dan “derhaka”. Di luar dewan kerajaan minta mahkamah keluarkan arahan tutup mulut berkenaan isu ini. Mereka nampak sangat takut.
“Jika ada pihak sorok dan tidak laksana titah diraja itu derhakalah namanya. Ia juga satu kesalahan besar. Bila takut dan orang bertanya dia mahu tutup mulut orang pula.
“Pepatah Melayu kata berani kerana benar takut kerana salah, berlakulah adil bila berkuasa. Jangan jadi penakut,” tempelak beliau dalam hantaran di Facebook pada Rabu.
Pada Selasa, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul memutuskan isu berkaitan polemik titah addendum tidak dibenarkan dibangkitkan pada sesi Dewan Rakyat kali ini.
Beliau menjelaskan ia berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36(2) selepas RSN Rayer (PH-Jelutong) mencelah membangkitkan mengenai perkara itu ketika beberapa Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan bertegang urat ‘berdebat’ mengenai kewujudan titah addendum dan isu penderhakaan
Johari turut melarang penggunaan perkataan derhaka untuk isu berkaitan titah addendum mengikut Peraturan Mesyuarat 36(7).