CYBERJAYA – Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad mendakwa istilah ‘sial’ adalah perkataan makian yang paling sopan di antara banyak-banyak kata makian lain.
Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) berkata demikian semasa sesi pemeriksaan semula dalam perbicaraan kes saman Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ke atasnya.
“Dalam kata-kata makian, ini (sial) paling sopan antara kata-kata makian. Memang ada kata-kata lebih dahsyat.
“Bagi saya (perkataan) sial kata-kata marah makian paling sopan,” katanya pada prosiding itu, seperti dilaporkan Malaysiakini.
Menjelaskan lebih lanjut, bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata perkataan makian ‘sial’ tidak bermaksud ‘jahanam’.
“Jahanam itu jarang saya pakai. Sial tidak membawa maksud jahanam.
“Bagi saya ia membawa maksud ‘damn’ atau ‘cursed’ iaitu menyumpah,” katanya, ketika menjawab soalan peguamnya Sankara Nair.
Prosiding hari ini adalah bagi perbicaraan penuh kes saman susulan dakwaan Tajuddin bahawa Khalid telah memanggilnya dengan istilah “sial” semasa dua sidang media di lobi Parlimen pada 21 dan 24 November 2016.
Terdahulu, ketika sesi pagi, peguam Tajuddin, Hasnal Rezua Merican merujuk kamus Oxford dwibahasa berkata bahawa perkataan “sial” membawa maksud jahanam, kecelakaan atau menyumpah.
Bagaimanapun, Khalid membalas bahawa “sial” adalah kata-kata ketika seseorang itu marah.
“Tak perlu bukan kamus. Dalam keadaan tidak setuju dengan tindakan seseorang. Kita gunakan kata-kata marah,” kata Khalid.