KUALA LUMPUR — Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pihaknya sedang mengkaji semula pindaan tiga akta bagi merealisasikan agenda keterjaminan makanan negara.
Menurutnya, tiga akta itu meliputi Akta Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) 1973 (Akta 110), Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109) serta Akta Persatuan Nelayan 1971 (Akta 44).
“Antaranya penambahbaikan dicadangkan terhadap pindaan Akta 110, Akta 109 dan perundangan subsidiari di bawahnya merangkumi memperkasakan fungsi penguatkuasaan dan penyeliaan oleh pendaftar serta melindungi hak dan kepentingan anggota Pertubuhan Peladang dengan lebih komprehensif.
“Selain itu, ini bagi memperkasakan Pertubuhan Peladang dengan perluasan penglibatan meliputi pelbagai peringkat bagi mewakili komposisi ahli pertubuhan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Tambahnya , KPKM berhasrat untuk meningkatkan jumlah itu kepada RM30,000 bagi memberi galakan kepada golongan muda terutamanya lulusan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta graduan.
“Kita sedang melihat perkara ini dengan lebih serius kerana agropreneur (usahawan pertanian) muda ini kita perlu bantu mereka dan kalau boleh mereka telah buat satu perusahaan berjaya.
“Kalau tidak cukup lagi modal mereka, kita tambah dan kita akan berbincang dengan Agrobank supaya mereka dapat tambah kegiatan mereka.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang ingin tahu sama ada kementerian akan meningkatkan jumlah Geran Agropreneur Muda (GAM) berjumlah RM20,000.