Majlis Peguam fail semakan semula untuk batal DNAA Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Majlis Peguam memfailkan semakan kehakiman untuk menyemak kuasa dan keputusan Peguam Negara mengeluarkan perintah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkait kes dana Yayasan Akalbudi.

Dalam satu kenyataan hari ini, Presidennya, Karen Cheah berkata ia memohon suatu certiorari untuk membatalkan keputusan bekas Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun pada 4 September lalu, berhubung permohonan DNAA oleh Ahmad Zahid.

Katanya, pihaknya juga mahu mahkamah mengisytiharkan keputusan Peguam Negara itu batal dan tidak sah serta melampaui kuasanya, mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan dan Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.

“Selepas mempertimbangkan secara panjang lebar fakta dan kedudukan kes Ahmad Zahid, badan peguam mengambil jalan perundangan ini sebagai sebahagian kewajipan berkanunnya untuk menegakkan keadilan, tanpa dipengaruhi sebarang ketakutan atau sokongan.

“Badan peguam berpandangan budi bicara peguam negara adalah tidak mutlak, seperti yang ditetapkan oleh Perkara 145(3) Perlembagaan, dan harus terbatas serta boleh dihakimi oleh mahkamah,” katanya dalam kenyataan.

Pada 3 September lalu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, 70 yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat itu.

Peguam bela Ahmad Zahid Datuk Hisyam Teh Poh Teik juga memohon supaya Ahmad Zahid dibebaskan daripada semua tuduhan kerana ia tidak adil kepada anak guamnya berikutan tuduhan ke atasnya ‘tergantung’ tanpa ada kepastian.

Sebelum ini, Ahmad Zahid didakwa dengan 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Bagi tuduhan pecah amanah, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa menggunakan dana yayasan berkenaan untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat