Menunjuk-nunjuk ada sebab – Ustaz Ebit Lew

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Cenderung berkongsi kisah di sebalik tabir kerja kebajikan, pendakwah bebas terkenal, Ustaz Ebit Lew mengaku apa yang dilakukan sekadar mengajak lebih ramai individu berbuat kebaikan.

Ebit Lew atau nama sebenar, Ebit Irawan Ibrahim Lew, memberitahu, program realiti, Jejak Ebit Lew diterbitkan bagi menarik lebih banyak pihak membantu golongan memerlukan yang tidak disedari, sebelum ini.

“Selama ini, saya kongsi di Facebook (FB) dan Instagram (IG) sahaja. Tapi kali ini, saya mahu lebih meluas kerana di luar sana, ramai yang perlu dibantu.

“Saya paparkan nombor untuk dihubungi, telefon saya ‘stuck’ (tersangkut) sebab penuh dengan mesej.

“Malah, bayangkan, setiap tiga hari, pasukan saya menghantar 1,000 set makanan dan keperluan bernilai antara RM60,000 sehingga RM70,000… Itu pun tidak menyeluruh,” katanya pada sidang media program Jejak Ebit Lew yang dikendalikan secara virtual, baru-baru ini.

Program itu adalah kesinambungan Door To Door Ebit Lew yang disiarkan Astro Oasis.

Ebit berkongsi, boleh dikatakan hampir setiap negeri mempunyai penduduk susah.

“Jadi, apabila diuar-uarkan dalam program ini, kita dapat menarik pihak yang berminat membantu. Saya tahu orang di Malaysia berlumba-lumba mahu membuat kebaikan.

“Apabila kita tunjuk contoh baik begini, mudah-mudahan lebih ramai yang dibantu. Sebelum ini, ramai sahabat saya tidak pernah terlintas untuk membuat kerja khidmat masyarakat.

“Namun, selepas saya berkongsi, mereka turun padang. Mana tahu, selepas saya sudah tiada, ada orang akan meneruskan usaha kebajikan apabila melihat program disiarkan Astro Prima ini,” katanya.

Pendekatan itu juga dianggap sesuai dengan situasi masyarakat yang berdepan pelbagai ujian akibat pandemik COVID-19.

Tambah Ebit, dia mula terbabit dalam kerja amal sejak berusia 12 tahun. Namun, baru sekarang, hangat diperkatakan.

Ebit tidak menyalahkan orang ramai yang mendakwa dirinya menunjuk-nunjuk.

Akui Ebit, sudah menjadi hasratnya untuk menarik lebih ramai orang menghulurkan bantuan.

“Orang kata saya menunjuk? Memang saya sengaja hendak tunjuk. Saya mahu wujudkan perasaan kekeluargaan antara kita. Saya hendak beritahu kita semua keluarga besar.

“Usaha ini membuatkan kita bersatu hati. Apabila kita bersatu hati, rahmat Allah akan turun. Rezeki dan rahmat kita ditarik apabila kita bergaduh antara satu sama lain.

“Perpecahan boleh membuatkan masyarakat rosak. Jadi, hendak tarik rahmat bagaimana? Kita kena bantu semua orang tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Ebit berkata, fokus program Jejak Ebit Lew diperluaskan kepada misi bantuan dan kemanusiaan dan tidak sekadar dakwah semata-mata.

Uniknya, program itu bersifat jujur kerana tidak terikat dengan skrip atau babak komersial. Malah, kebanyakan misi bantuan yang dipaparkan bersifat spontan.

Ebit berkata, maklumat misi bantuan hanya diketahui sekurang-kurangnya sejam sebelum kumpulannya bergerak ke lokasi. Ini bermakna, semua pihak perlu bersedia setiap masa.

Bukan sekadar insan memerlukan, Ebit menjaga kebajikan hidupan flora dan fauna. Terbaru, Ebit menyumbang 200 kilogram daging segar untuk bekalan makanan haiwan selepas menerima permintaan Zoo Negara yang mengalami kekurangan dana akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Melihat keprihatinannya kepada masyarakat, tidak hairanlah, ada pihak menyarankan Ebit menjadi wakil rakyat.

“Politik bukan bidang saya. Terus-terang, saya tidak pandai berpolitik. Saya lebih berminat dengan kerja dakwah dan melakukan kebajikan masyarakat.

“Saya berdoa suatu hari nanti, mudah-mudahan Allah beri saya rezeki yang lebih agar dapat bantu lebih ramai orang. Saya mengaku banyak orang saya kecewakan hingga ada yang marah. Namun, saya tidak kecil hati,” katanya.

Ebit tidak menafikan didatangi banyak pihak yang mahu menawarkan jawatan atau pangkat kepadanya.

“Saya gembira dengan hidup saya sekarang. Saya seperti layang-layang yang terbang bebas. Tidak terikat kepada ketua. Saya hanya taat kepada negara dan undang-undang.

“Saya tidak perlu bekerja di bawah orang lain dan tidak berhajat pun,” katanya.

-BERITA HARIAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat