KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) Sabah menafikan dakwaan penganalisis politik yang melihat kehadiran gabungan politik itu sudah tidak relevan di Sabah atau ketinggalan zaman dan tidak mungkin menang bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Sebaliknya, Ketua Penerangan BN Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, berkata kehadiran BN masih mendapat sokongan ramai rakyat Sabah khususnya di kawasan luar bandar negeri itu.
Beliau mengakui peluang BN mungkin sukar di kawasan bandar, namun ia masih mempunyai ramai penyokong di kerusi luar bandar dan separuh bandar.
“Apa yang dikatakan oleh penganalisa itu hanya berupa pandangan peribadi beliau, sebab BN masih secara tidak langsung dirindui rakyat terutama di kawasan luar bandar.
“Hanya BN saja yang dapat membantu sewaktu rakyat dalam keadaan memerlukan berbanding parti lain. Kekuatan BN untuk kawasan seperti di bandar mungkin agak sukar, tapi bagi kawasan luar bandar dan separuh bandar, BN masih ada penyokongnya sendiri,” memetik laporan BH di Kota Kinabalu pada Isnin.
Beliau diminta mengulas pandangan seorang penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang antara lain berpendapat bahawa jenama BN sudah ketinggalan zaman dan memerlukan transformasi dengan kerjasama parti lain pada pilihan raya nanti.
Sebelum ini, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, tidak menolak kemungkinan BN Sabah bertanding solo pada PRN17 jika gagal mencapai kata sepakat dengan parti lain, termasuk Pakatan Harapan (PH).
Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran berkata beliau berkeyakinan rakyat Sabah akan kembali menyokong BN pada PRN17 berdasarkan penilaian pencapaian tiga era pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.
“Rakyat sudah melihat tiga era kerajaan iaitu BN, Warisan dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Mereka sedar apa yang berlaku dan melihat kekurangan untuk kelangsungan pembangunan infra dan ekonomi rakyat Sabah,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kekuatan BN Sabah jika bertanding solo pada PRN17, Suhaimi berkata BN Sabah tidak akan bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) jika memilih untuk bergerak solo.
Katanya, BN hanya meletakkan calon di kerusi tumpuan tetapi dengan jumlah yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri.
“Jika nak jalan solo, BN tak akan tanding semua kawasan, hanya tanding kawasan tumpuan saja untuk melayakkan pembentukan kerajaan saja,” katanya.
Selain itu, katanya isu semasa yang berlaku di bawah kerajaan hari ini juga menjadi antara kelebihan yang menyebabkan BN berada di hati rakyat.
“Dalam BN Sabah sekarang ini ramai pemimpin muda dan muka baharu yang menyebabkan rakyat Sabah berkeyakinan berbanding parti lain.
“Seperkara lagi, parti lawan kebanyakan datang dari lompat parti, yang menyebabkan rakyat hilang keyakinan dan akan menghukum mereka kali ini pada PRN17.
“BN juga ada ikon yang rakyat Sabah berkeyakinan seperti Datuk Seri Bung Moktar Radin, berdasarkan kesetiaan dalam perjuangan beliau untuk membela nasib rakyat Sabah,” katanya.