Kerusi Panas Menjelang PRU-15

- Advertisement -

CYBERJAYA: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) digelar ibu segala pilihan raya berikut wujudnya pelbagai gabungan parti politik baharu yang turut mengambil bahagian.

Ia berbeza dengan pilihan raya umum sebelum ini yang memberi pilihan kepada rakyat untuk memilih gabungan utama parti dalam negara, sama ada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH).

Pada pilihan raya umum kali ini, setiap kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya empat penjuru antara BN, PH, Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA).

Malah gabungan lain juga turut memberi persaingan iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta parti yang bergerak sendiri seperti Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Mengambil kira jumlah gabungan yang ada, PRU-15 akan menyaksikan hampir 888 calon yang akan bertanding. Jumlah ini tidak termasuk calon yang akan bertanding atas tiket Bebas atau parti yang bergerak sendiri.

Daripada 222 buah kerusi Parlimen yang dipertandingkan, kira-kira 15 kerusi bakal melihat pertembungan nama-nama besar sama ada ia terdiri daripada calon perdana menteri, bekas menteri besar, bekas menteri dan timbalan menteri, pemimpin tertinggi parti masing-masing atau muka baru yang ditampilkan.

Antara kerusi yang bakal menjadi tumpuan PRU-15 kali ini ialah Parlimen Tambun, Sungai Buloh, Bandar Tun Razak, Gombak, Pasir Salak, Kuala Selangor, Sepang, Shah Alam, Titiwangsa, Alor Gajah dan Arau.

Kerusi lain yang bakal berdepan persaingan sengit ialah Ampang, Bentong, Putrajaya dan Simpang Renggam.

Daripada kesemua kerusi tumpuan itu, ada beberapa kerusi yang menarik untuk dilihat seperti Parlimen Tambun.

Semua telah maklum bahawa Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di kawasan itu dan akan bertembung dengan penyandang kerusi terbabit, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Selain bertemu Timbalan Presiden Parti Bersatu (Bersatu) yang juga bekas Menteri Besar Perak itu, Anwar juga akan bertemu Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah serta calon Parti Pejuang, Abdul Rahim Tahir.

Melihat kepada latar belakang Anwar berbanding calon lain, Presiden PKR itu merupakan calon luar berbanding Faizal dan Aminuddin yang merupakan calon tempatan.

Pertandingan empat penjuru ini sememangnya bukan jalan mudah bagi Anwar. Ini kerana, seramai kira-kira 15,000 pengundi PAS pada PRU-14 akan membeli kelebihan buat Faizal selepas Bersatu bergabung dengan PAS sebagai satu gabungan PN.

Pada PRU-14, Parlimen Tambun menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Bersatu (ketika itu masih bersama PH), BN dan PAS.

Bersatu yang diwakili Faizal atau Peja memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,320 undi selepas mendapat 38,661 undi mengalahkan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dari BN (33,341) dan Muhamad Zulkifli Mohamad Zakaria dari PAS (14,948).

Di Gombak, turut menarik perhatian apabila penyandangnya Datuk Seri Azmin Ali akan mempertahankan kerusi berkenaan dan bertemu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan calon BN, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Pertembungan Azmin-Amiruddin menjadi perhatian kerana ADUN Sungai Tua itu merupakan ‘geng’ Azmin semasa beliau bersama PKR. Azmin juga memenangi kerusi Gombak sebelum ini atas tiket PKR.

Selepas Azmin yang ketika itu menjadi Timbalan Presiden PKR menyertai Langkah Sheraton, kedua-duanya kini menjadi seteru politik.

Pada pilihan raya umum lalu, Azmin yang menjadi ahli Parlimen Gombak selama tiga penggal sejak 2008 memenangi kerusi itu dengan mendapat 75,113 undi mengalahkan calon daripada BN Abdul Rahim Pandak Kamaruddin (26,392) dan Khairil Nizam Khirudin dari PAS (17,537).

Kerusi Parlimen Gombak akan menyaksikan pertembungan empat penjuru antara PH, PN, BN dan GTA yang menampilkan calon daripada Parti Putra, Aziz Jamaludin Mhd Tahir.

Parlimen Titiwangsa dan Putrajaya pula akan berlakunya perlawanan antara individu yang pernah menjadi menteri kabinet.

Di Titiwangsa, bekas Menteri Wilayah, Khalid Samad (PH) akan bertemu bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN). Dua nama besar ini menjadi tumpuan kerana Khalid sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Shah Alam kini bertanding di Titiwangsa dan Johari, pernah bertanding di kawasan ini namun tewas kepada Datuk Seri Rina Harun.

Rina daripada Bersatu memenangi Parlimen Titiwangsa ketika bersama PH dengan mendapat 23,840 undi, Johari 19,701 undi dan wakil PAS Mohamad Noor Mohamad hanya mendapat 6,842 undi.

Pada PRU-15, Titiwangsa juga akan berlaku empat penjuru antara PH, BN, PN menampilkan Dr Rosni Adam dan GTA diwakili oleh Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Di Putrajaya, penyandang kerusi itu yang juga bekas Menteri Wilayah, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan bertemu Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin (PN), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (PKR) dan Mohd Rosli Ramli (GTA).

Pada PRU-14, Tengku Adnan yang menjadi penyandang Parlimen Putrajaya sejak ia diwujudkan pada 2004 memenangi kerusi tersebut dengan mendapat 12,148 undi. Beliau mengalahkan calon daripada Bersatu ketika itu, Datuk Dr Samsu Adabi Mamat (8,776).

Kerusi-kerusi lain yang menarik untuk dilihat seperti berikut:

Bagan Datuk
BN- Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
PH- Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin

Sungai Buloh
BN- Khairy Jamaluddin
PH- Datuk R. Ramanan

Kuala Selangor
BN- Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz
PH- Datuk Ser Dr Dzulkefly Ahmad

Pulai
BN- Datuk Nur Jazlan Mohamed
PH- Datuk Seri Salahuddin Ayub

Simpang Renggam
BN- Datuk Hasni Mohammad
PH- Dr Maszlee Malik

Pagoh
BN- Datuk Seri Razali Ibrahim
PN- Tan Sri Muhyiddin Yassin

Bentong
BN- Datuk Seri Liow Tiong Lai
PH- Young Syefura Othman

Alor Gajah
BN- Shahril Sufian Hamdan
PN- Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof
PH- Adly Zahari

Shah Alam
BN- Hizatul Isham Abdul Jalil
PN- Dr Afif Bahardin
PH- Azli Yusof

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 5 November sebagai hari penamaan calon, pengundian awal pada 15 November dan 19 November sebagai hari mengundi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat