KUALA LUMPUR – Tindakan Menteri Luar, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, menasihatkan rakyat Malaysia yang ditahan Israel supaya menandatangani surat pengusiran wajar dilihat sebagai strategi diplomasi bijaksana, bukannya tanda menyerah seperti didakwa segelintir pihak.
Menurut pemerhati, langkah itu jelas berlandaskan kepentingan utama kerajaan iaitu keselamatan dan kepulangan segera warganegara,.
Dalam keadaan Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan Israel, pendekatan berhemat dan pragmatis adalah satu-satunya jalan realistik.
Peserta Flotila Solidariti Global (GSF) berdepan pertuduhan menceroboh perairan Israel.
Dengan menandatangani surat pengusiran, mereka dianggap mengaku bersalah atas kesalahan kecil dan seterusnya dibenarkan keluar dari Israel dalam tempoh singkat. Tanpa langkah ini, tahanan boleh berlarutan, malah ada yang berisiko dibicarakan tanpa peguam.
Penganalisis dasar luar menegaskan, precedent atau pengalaman terdahulu menunjukkan proses yang sama pernah digunakan untuk memastikan pembebasan pantas. Justeru, ia bukan perkara baharu, sebaliknya satu mekanisme yang telah terbukti berkesan.
Selain itu, kerajaan Malaysia turut mengaktifkan pelbagai saluran diplomatik melalui Turkiye, Mesir, Jordan, rakan ASEAN dan juga campur tangan Amerika Syarikat. Ini memperlihatkan pendekatan diplomasi aktif yang berpaksikan jaringan antarabangsa, bukan sekadar retorik.
Pemerhati turut menolak pandangan bahawa Malaysia sepatutnya bertindak lebih keras, termasuk menghantar aset ketenteraan. Tindakan itu disifatkan sebagai naif dan berbahaya, malah boleh dianggap sebagai pengisytiharan perang sesuatu yang bertentangan dengan prinsip dasar luar Malaysia yang menekankan keamanan, kemanusiaan dan kerjasama multilateral.
Secara keseluruhannya, langkah menandatangani surat pengusiran ini dilihat sebagai jalan terpantas, paling selamat dan paling bertanggungjawab untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang ditahan.
Ia mungkin tidak popular secara emosi, tetapi inilah bentuk diplomasi berhikmah yang meletakkan nyawa rakyat sebagai keutamaan sebenar.



