Bermain dengan psikologi

- Advertisement -

NAMA Azizul Ammar mula menyinar sebagai pelawak ketika dia muncul menerusi program realiti komedi, Bintang Mencari Bintang suatu ketika dahulu.

Mengorak langkah meniti usia karier yang semakin matang, nama Ammar mula bertumbuh sebagai pelakon dan kini dia mula membuktikan kemampuannya sebagai pelakon versatil.

Terbaharu, Ammar kini selesai menjalani penggambaran telefilem berjudul Cinta Round One yang menjadi ruang baharu untuknya menunjukkan sisi berbezanya sebagai pelakon.

“Dalam telefilem Cinta Round One ini, saya memegang watak sebagai Syakirin. Berbeza dengan watak lain yang pernah saya lakonkan dulu. Kali ini, saya memegang watak antagonis,” katanya.

Berkongsi pengalamannya memegang watak antagonis, Ammar menganggap cabaran terbaharunya ini tidak terlalu sukar untuk dilunaskan.

“Ini adalah sisi berbeza lakonan saya yang mungkin belum pernah saya pertontonkan dalam mana-mana karya lakonan sebelum ini.

“Sejujurnya, ia tidak terlalu sukar sebab bagi saya, apa juga watak yang ditawarkan adalah tanggungjawab yang diberikan kepada kita sebagai pelakon.

“Lagi pula, watak antagonis adalah watak yang saya idam-idamkan sejak awal pembabitan dalam dunia lakonan. Jadi, tawaran ini umpama mimpi yang menjadi kenyataan,” katanya.

Tambahnya, lakonan umpama satu penerokaan untuknya mencuba pelbagai perkara baharu.

“Dalam lakonan, saya suka meneroka pelbagai perkara baharu yang belum pernah saya cuba. Sebelum melangkah masuk ke set pun, saya dah buat persediaan dari segi mental dan fizikal,” katanya.

 

GIGIH dalam menjaga kecergasan tubuh badan.
GIGIH dalam menjaga kecergasan tubuh badan.

 

Berkongsi mengenai perwatakan Syakirin, Ammar menggambarkan watak itu sebagai individu yang gemar menggunakan sindiran dan bermain dengan psikologi.

“Dia adalah individu yang suka menyindir dan sinis. Dia dahagakan perhatian dan suka mengganggu mental serta psikologi orang lain. Saya harap, penonton tak ‘meludah’ (kecam) saya kalau watak itu meninggalkan kesan,” katanya.

Selain lakonan, turut mencuri perhatian adalah kegigihan Ammar dalam menjaga kecergasan tubuh badannya.

“Penjagaan kecergasan dan bentuk badan adalah untuk diri sendiri. Bukan untuk memuaskan hati sesiapa atau ada permintaan daripada mana-mana produksi. Semuanya adalah atas inisiatif diri saya sendiri,” katanya.

Berkongsi mengenai penjagaan kesihatan, Ammar juga terus menerus mencari motivasi untuk memastikan kesihatannya terjaga kerana itu adalah aset utama.

“Sebagai pelakon, aset utama adalah badan dan kesihatan tubuh. Kalau badan sihat, kita dapat bekerja dengan lancar.

“Andai kata ada tawaran lakonan yang memerlukan saya mengubah bentuk badan, saya akan pertimbangkan sekiranya ia berbaloi dan sesuai,” katanya.

Terbaru, Ammar juga kini baharu saja menimang cahaya mata keduanya pada 27 September lalu.

“Alhamdulillah pada 27 September lalu isteri saya selamat melahirkan cahaya mata kedua kami yang diberikan nama Maryam Malaika.

“Keterujaan yang saya rasakan masih sama seperti mana ketika saya menimang cahaya mata pertama dulu. Bezanya, kali ini saya dan isteri lebih bersiap sedia dari segi persediaan,” katanya.

Ammar mendirikan rumah tangga dengan Nur Amalina Jamil pada 1 April 2017 dan mereka juga dikurniakan anak pertama, Airis Aisyah yang kini berusia empat tahun.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat