KUALA LUMPUR – Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengalami kecederaan luaran dan dalaman bermula dari pergelangan kaki hingga di belakang kepala ketika pemeriksaan selepas ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu.
Lokasi kecederaan itu ditunjukkan Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu melalui patung yang dibawa pihak peguam ke Mahkamah Koroner petang ini bagi menggambarkan kecederaan yang dikesan di tubuh arwah Zara Qairina.
Berdasarkan lokasi ditunjukkan Dr Jessie pada patung di Mahkamah Koroner, kecederaan atau lebam dikesan di belakang kepala, pergelangan tangan, jari dan tapak tangan kiri, belakang tangan dan siku kiri, pergelangan kaki kanan serta kaki kiri.
Beliau turut menunjukkan lokasi kecederaan dalaman yang dikesan di bahagian tulang belakang, selain ada kesan lebam di bahagian hadapan badan.
Dr Jessie menjelaskan, arwah mengalami dua impak akibat jatuh bermula dengan kecederaan di bahagian kaki, disusuli kecederaan di belakang kepala dan tangan kiri melalui impak kedua.
Katanya, ketika jatuh, kaki arwah mencecah tanah terlebih dahulu dan impak pertamanya menyebabkan kecederaan bermula pada bahagian kaki dan ke atas.
“Selepas itu, dia rebah ke kiri badan menyebabkan impak kedua, cedera di pergelangan tangan kiri dan belakang kepala,” katanya menjawab pertanyaan peguam mewakili ibu arwah Zara Qairina, Rizwandean M Borhan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, lapor BH di Sabah.
Dr Jessie mengambil masa lebih setengah jam menanda lokasi kecederaan pada patung dan menjelaskannya kepada Mahkamah Koroner ketika prosiding bermula pada kira-kira jam 2.10 petang.
Terdahulu pihak peguam meminta kebenaran Koroner untuk menggunakan patung berkenaan yang dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan gambaran lokasi kecederaan pada anggota tubuh arwah Zara Qairina.
Pada prosiding itu, Mahkamah Koroner turut ditunjukkan gambar arwah Zara Qairina ketika mula-mula ditemui tidak sedarkan diri terbaring di bawah bangunan asrama dengan belakang kepalanya di atas lantai simen berhampiran longkang.



