“Saya Sangat Tidak Berpuas Hati” – Fahmi Tegur Sikap TikTok

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, melahirkan rasa kecewa terhadap pengurusan TikTok yang menurutnya masih tidak serius dalam menangani isu-isu keselamatan digital, termasuk penipuan dan kes buli siber.

Menurut Fahmi, walaupun beberapa siri perbincangan telah diadakan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), platform berkenaan gagal memberikan komitmen yang jelas terhadap langkah susulan.

“Isu yang kami bangkitkan berkenaan dengan aspek keselamatan dalam talian, saya meminta supaya pasukan TikTok, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meneruskan perbincangan, meletakkan beberapa tempoh masa dan tindakan yang perlu mereka lakukan.

“Saya secara umumnya sangat tidak berpuas hati dengan sikap TikTok yang tidak serius dalam mengambil beberapa tindakan untuk mengatasi masalah tertentu yang telah kami bangkitkan sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi perjumpaan bersama PDRM dan pihak TikTok di Bukit Aman.

Beliau memberi contoh kes buli siber yang melibatkan mendiang Rajeswary Appahu atau lebih dikenali sebagai ‘Esha’, di mana pihak TikTok pernah berjanji untuk menambah jumlah moderator kandungan, namun sehingga kini tidak menyatakan angka sebenar.

“Satu contoh ialah apabila berlaku kes buli siber terhadap mendiang Rajeswary Appahu atau ‘Esha’, TikTok menjanjikan jumlah moderator bagi kandungan termasuk Live akan bertambah namun gagal menyatakan jumlah sehingga kini,” katanya.

Fahmi turut menegaskan bahawa pihak kementerian sudah beberapa kali menuntut jumlah moderator khusus bagi kandungan berbahasa Tamil, namun masih belum menerima maklum balas rasmi.

Katanya lagi, keengganan syarikat media sosial itu untuk menyelesaikan masalah berulang boleh menyebabkan mereka berdepan tindakan undang-undang.

“Keingkaran untuk mengatasi masalah ini boleh mengakibatkan pihak TikTok dikenakan tindakan perundangan. Dan saya serahkan kepada MCMC untuk meneliti apakah tindakan-tindakan yang boleh diambil,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat