“NEX Bersama Palestin” 500,000 botol air jadi simbol solidariti Malaysia

Cyberjaya 4 September 2025 – Ada sesuatu yang luar biasa pada sebotol air kali ini. Jika sebelum ini botol hanya menjadi wadah untuk menghilangkan dahaga, kempen “NEX Bersama Palestin” menjadikannya simbol solidariti dan kasih sayang. Setiap botol yang dibeli bukan sekadar membasahkan tekak, tetapi menjadi tanda ingatan, doa, dan titipan kecil untuk saudara di bumi Gaza yang sedang diuji.

Melalui inisiatif ini, rakyat Malaysia diseru untuk bersama-sama menjayakan misi membeli 500,000 botol NEX dalam tempoh 24 jam pada 17 Oktober 2025. Bukan sekadar angka, setiap botol membawa nilai setengah ringgit yang akan terus disalurkan kepada rakyat Palestin melalui Cinta Gaza Malaysia (CGM). Jika sasaran tercapai, RM250,000 akan dikumpul – satu jumlah yang boleh memberi sinar kepada kehidupan yang sedang bergelut di tanah penuh luka itu.

Edisi botol kali ini juga tampil dengan kelainan. Dengan rekaan khas yang menampilkan bendera Palestin, botol itu seolah-olah berbicara sendiri tentang makna perjuangan. Fattah Amin, wajah yang sinonim dengan kempen ini, menegaskan bahawa simbol tersebut bukan sekadar hiasan, tetapi tanda kasih dan sokongan. “Edisi khas ini membawa jiwa yang berbeza. Setiap kali orang lihat atau pegang botol ini, mereka akan sedar bahawa ada harapan yang sedang dikongsi bersama,” katanya penuh harapan.

Pemilihan 17 Oktober sebagai tarikh pelaksanaan juga sarat dengan simbolik. Ia diambil bersempena memperingati tragedi 7 Oktober 2023, tarikh yang merobek hati umat Islam seluruh dunia. Namun, bagi Fattah, mesej di sebaliknya lebih mendalam. Penderitaan Palestin, katanya, bukan hanya berlaku pada satu tarikh itu. Ia berulang setiap hari, tanpa henti. “Saudara kita di Gaza bukan sahaja diuji pada 7 Oktober. Setiap hari mereka ditindas, disekat, dan dipaksa hidup dalam serba kekurangan. Jadi tarikh ini kita pilih sebagai simbolik, untuk membuka kembali mata masyarakat agar mereka tidak lupa bahawa penderitaan itu masih berterusan,” jelasnya.

Apa yang dimulakan pada bulan ini hanyalah permulaan. Kesedaran sudah mula dibangunkan melalui media sosial, masjid, dan jaringan masyarakat. Pada 17 Oktober nanti, kempen ini akan mencapai kemuncak. Ia bukan hanya tentang membeli air, tetapi tentang menjadikan pembelian itu doa, sokongan, dan semangat kolektif rakyat Malaysia untuk menunjukkan bahawa Palestin tidak pernah dilupakan.

Bagi Imam Muda Asyraf, usaha kecil ini tidak boleh dipandang remeh. Beliau melihat setiap botol yang dibeli sebagai peluang untuk mengumpul amal jariah. “Sedekah tidak semestinya dalam bentuk wang tunai yang kita hulurkan terus. Bila kita membeli air ini, sebahagian hasilnya disalurkan untuk bantuan. Itu juga menjadi sadaqah jariah, amalan berterusan yang akan memberi manfaat kepada kita di akhirat. Amalan kecil, bila dilakukan dengan ikhlas, boleh jadi besar di sisi Allah,” katanya. Beliau percaya bahawa tarikh 17 Oktober nanti mampu menjadi hari yang mengikat hati umat Islam Malaysia dengan rakyat Palestin, walaupun dipisahkan jarak ribuan kilometer.

Dana yang terkumpul pula akan diuruskan oleh Cinta Gaza Malaysia, sebuah NGO yang telah lama bertugas di lapangan. Fokus bantuan akan diberikan kepada dua perkara yang paling mendesak: keperluan asas seperti makanan, minuman, pakaian dan perlindungan, serta sektor kesihatan yang semakin kritikal di Gaza. Wakil CGM menegaskan bahawa dalam keadaan darurat sekarang, setiap sen sangat berharga. Bantuan yang datang akan terus disalurkan kepada dua sektor ini bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat Palestin, khususnya golongan yang paling terkesan seperti kanak-kanak dan warga emas.

Apa yang menjadikan kempen ini lebih istimewa adalah sifatnya yang inklusif. Ia membuka ruang kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira usia atau status, untuk turut serta. Sumbangan tidak lagi terhad kepada mereka yang mampu berderma besar; sebaliknya, setiap individu boleh memainkan peranan hanya dengan membeli sebotol air. “Tak kisah apa bentuk usaha kita sama ada derma secara terus, sebarkan kesedaran di media sosial, atau membeli sebotol air ini. Semuanya berharga. Pada 17 Oktober nanti, kita jadikan setiap botol sebagai doa dan simbol kasih untuk Palestin,” ujar Fattah dengan nada penuh keyakinan.

Hari itu dijangka menjadi detik bersejarah. Botol Edisi Terhad NEX akan mula dijual di TikTok Shop dan di 500 masjid seluruh negara. Fattah Amin dan Imam Muda Asyraf pula bakal turun padang di beberapa masjid sekitar Lembah Klang, bukan untuk sekadar merasmikan, tetapi untuk bersama rakyat menyemarakkan solidariti ini.

Akhirnya, kempen ini bukan hanya tentang angka, bukan sekadar mencapai RM250,000. Ia lebih besar daripada itu. Ia adalah tentang menyatukan hati, tentang mengingatkan kembali bahawa penderitaan Palestin adalah penderitaan bersama, dan tentang membuktikan bahawa usaha kecil walau hanya melalui sebotol air mampu memberi impak besar jika dilakukan dengan ikhlas dan bersama-sama.

Pada 17 Oktober 2025, seluruh Malaysia akan diuji dengan satu soalan mudah: adakah kita sanggup menjadikan sebotol air sebagai titipan kasih dan doa buat Palestin?

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat