Kedah jadi titik tolak persiapan besar-besaran Pas tadbir negara – Ahmad Yahaya

KUALA LUMPUR – Muktamar Tahunan Pas kali ke-71 tahun ini disifatkan sebagai platform paling signifikan dalam menentukan hala tuju politik parti menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pesuruhjaya Pas Kedah Datuk Ahmad Yahaya berkata, Kedah sebagai tuan rumah bukan sekadar lokasi simbolik, tetapi menjadi titik tolak kepada persiapan besar-besaran Pas untuk melangkah ke peringkat pentadbiran negara.

“Muktamar kali ini amat signifikan dalam konteks politik tanah air. Kedah bersedia menjadi titik tolak kepada persiapan Pas dalam misi mentadbir negara pada pilihan raya akan datang.

“Kita ingin membina sebuah politik yang matang, sejahtera dan berkebajikan,” lapor Utusan di Alor Setar.

Ahmad yang juga Ketua Dewan Ulama Pas berkata, sejarah lampau muktamar yang dianjurkan di Kedah memperlihatkan perkembangan penting dalam perjalanan politik Pas.

Muktamar kali ke-52 pada 2006 di Kompleks PAS Kedah berlangsung dua tahun sebelum Pas mengambil alih pentadbiran negeri di bawah kepimpinan Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

“Kemudian pada 2017, Pas Kedah sekali lagi menjadi tuan rumah untuk muktamar ke-63 ketika Pas membina gagasannya yang tersendiri iaitu Gagasan Sejahtera.

“Muktamar terakhir yang kita anjurkan ialah pada 2022 ketika Pas merupakan sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan dan mentadbir negeri ini di bawah pimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor,” katanya.

Ujar Ahli Parlimen Pokok Sena itu, Pas berhasrat membawa pendekatan politik yang bukan sahaja menekankan pembangunan fizikal, malah kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

Katanya, perkara berkenaan juga selaras dengan prinsip Islam yang menjadi dasar perjuangan Pas.

“Misi kita bukan sekadar menang pilihan raya, tetapi memastikan pentadbiran negara berteraskan keadilan, kebajikan rakyat dan ketelusan,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat