Peniaga di Lahad Datu gembira terima kunjungan Agong dan Permaisuri

- Advertisement -

LAHAD DATU – Tidak pernah terlintas di fikiran Blison Zainudin, peniaga minuman dan makanan serbaneka, akan menerima kunjungan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke gerainya hari ini yang terletak kira-kira 150 kilometer dari Bandar Tawau.

Blison, 39, menyifatkan keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bersama delegasi ke gerainya yang terletak di tepi Jalan Lahad Datu-Tawau di sini memberi limpahan rezeki buatnya apabila Seri Paduka berdua sempat meluangkan masa berehat hampir 20 minit dan menikmati air kelapa sebelum meneruskan jelajah Kembara Kenali Borneo.

“Syukur Alhamdulillah. Tuanku banyak support bisnes saya hari ini. Saya sebagai rakyat di Lahad Datu ini rasa bangga kerana dapat bertemu Yang di-Pertuan Agong dan keluarga Tuanku buat pertama kali,” kata penduduk Kampung Silam itu kepada Bernama.

Jalan Lahad Datu-Tawau adalah laluan yang dilalui Seri Paduka berdua bersama rombongan semasa perjalanan menuju ke Lahad Datu.

Lahad Datu merupakan antara lokasi persinggahan rombongan Yang di-Pertuan Agong dalam jelajah Kembara Kenali Borneo yang bermula hari ini di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak pada 13 Sept, melibatkan perjalanan sejauh 2,154 kilometer merentasi Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.

Paduka anakanda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana turut berkenan meluangkan masa untuk bersantap di gerainya.

Blison mengucapkan terima kasih kepada pasangan diraja itu kerana sudi singgah di gerainya, malah berasa amat teruja apabila Seri Paduka berdua bersama keluarga turut berkenan menyantuni masyarakat setempat di premis jualan kecilnya.

Sementara itu, peniaga buah-buahan Harawansah Malinggati, 25, juga bersyukur selepas Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan membeli rambutan, langsat dan ciku di gerainya dekat Jalan Tawau Semporna, di Tawau hari ini.

“Alhamdulillah. Rasa berdebar-debar tetapi teruja sangat-sangat sebab Agong datang gerai saya,” katanya yang menetap di Kampung Checkpoint, Tawau.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta delegasi memulakan perjalanan Kembara Kenali Borneo dari Bulatan 0KM Padang Perbandaran Tawau, pada 8.30 pagi menuju ke Lahad Datu, yang jarak perjalanannya adalah 171.7 kilometer.

Al-Sultan Abdullah, yang memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda mengetuai konvoi kembara 25 kenderaan itu, berulang kali berkenan berhenti dan turun kenderaan di beberapa kawasan, antaranya untuk membeli buah-buahan serta makanan seperti keropok lekor dan sebagainya yang dijual peniaga tempatan.

Keadaan cuaca yang baik dan cerah juga memberi peluang kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri untuk bersalaman dan menyantuni rakyat setempat di samping Seri Paduka berkenan mengurniakan sumbangan wang tunai kepada beberapa rakyat setempat dan peniaga-peniaga kecil. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat