Lebih 100,000 Kunjungi Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Di Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR – Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Kedah yang berlangsung di pekarangan Stadium Darul Aman melakar sejarah apabila mencatat kehadiran lebih 100,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran bermula Jumaat lepas.

Menurut kenyataan Sekretariat Program AKM, jumlah itu adalah yang tertinggi dicatatkan sepanjang penganjuran siri Jelajah AKM selepas Johor, Perlis, Sabah, Terengganu, Perak, Kelantan, Sarawak dan Selangor.

“Sebanyak 27 reruai kaunter perkhidmatan mengambil bahagian pada siri AKM ini yang melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri selain 12 kaunter perkhidmatan bergerak antaranya Jabatan Pendaftaran Negara disediakan.

“Selain itu, pengunjung yang datang ke jelajah ini mendapat perkhidmatan terus secara bersemuka dengan pelbagai program menarik dan bermanfaat,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut AKM melalui Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia turut bekerjasama dengan 35 syarikat yang menawarkan lebih 4,000 jawatan kosong.

Seramai 1,300 peserta dipanggil menghadiri temu duga dan 607 orang, atau 46.7 peratus, berjaya ke tapisan akhir permohonan jawatan.

Turut terlibat 80 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), 60 gerai jualan di bawah Pavilion Usahawan Desa Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) serta pelbagai jualan lain yang menyaksikan RM8.8 juta hasil jualan direkodkan setakat hari kedua penganjuran, semalam.

“Siri jelajah ini akan diteruskan di seluruh negara dengan segmen perkhidmatan sama bagi memenuhi keperluan rakyat dan membantu penghayatan terhadap pengertian AKM yang menitikberatkan tiga teras utama iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran,” menurut sekretariat program itu.

AKM itu merupakan sebahagian usaha kerajaan menyumbang kepada rakyat yang berfokuskan kepada kemudahan perkhidmatan secara langsung sekali gus memelihara kesejahteraan dan kepentingan Keluarga Malaysia.

Jelajah AKM, yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, adalah kesinambungan kejayaan program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 9 hingga 12 Dis lepas. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat