Ketua Pemuda Bahagian Harap Khairy Tanding Di Parlimen Seremban

- Advertisement -

SEREMBAN – Penyandang kerusi Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dialu-alukan jika berminat bertanding di Parlimen Seremban pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin, berkata kepemimpinan tertinggi UMNO diharap dapat melihat cadangan berkenaan secara positif.

Katanya, langkah itu susulan Khairy yang juga Menteri Kesihatan dikatakan terpaksa memberi laluan kepada Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding di Parlimen Rembau.

“Saya amat berharap serta mengalu-alukan Khairy bertanding di Parlimen Seremban memandangkan bilangan pengundi muda dan Melayu di sini yang semakin bertambah.

“Pucuk pimpinan parti diharap dapat merealisasikan impian UMNO untuk bertanding di Parlimen Seremban dengan memberi laluan kepada Khairy sebagai calon,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Khairy yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau dalam satu program di ibu negara dilaporkan mengesahkan beliau tidak akan bertanding di Parlimen Rembau pada PRU-15.

Keputusan itu dibuat selepas beliau diarah mengosongkan kerusi berkenaan oleh Mohamad yang mahu bertanding di Parlimen Rembau, selain mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang disandangnya sejak 2004.

Khairy mengakui terpaksa akur dengan arahan itu walaupun tidak pernah bersedia untuk bertanding di mana-mana kawasan Parlimen lain, memandangkan sudah lebih 20 tahun berpolitik di Rembau.

Zool Amali berkata, hasrat supaya Khairy bertanding di Seremban sudah dinyatakannya sebelum ini termasuk di peringkat akar umbi mahupun pucuk pimpinan parti.

“Kita semua tahu Rembau pasti menjadi milik Tok Mat (Mohamad) pada pilihan raya akan datang. Bagi saya Tok Mat dan Khairy adalah pemimpin tersohor dilahirkan UMNO.

“Adalah amat rugi jika Khairy tidak bertanding pada PRU-15 ini. Biarlah Khairy bertanding di Parlimen Seremban yang sebelum ini kerusi itu milik tradisi MCA,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu, kerusi Parlimen Seremban dimenangi Anthony Loke Siew Fook dari DAP dengan majoriti sebanyak 30,694 undi. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat