KUALA LUMPUR – Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengakui, masih tidak berpuas hati terhadap aspek penguatkuasaan bagi mencegah pencerobohan tanah kerajaan negeri dan hutan simpan kekal (HSK) di Pahang.
Sultan Pahang bertitah, proses penguatkuasaan tidak boleh dibuat secara bermusim atau sekejap-sekejap, sebaliknya perlu dilaksana secara berterusan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan merompak hasil negeri itu.
Titah baginda, kerajaan negeri melaksanakan penguatkuasaan berdasarkan undang-undang dan pihak melakukan kesalahan perlu dikenakan tindakan tegas sebagai pengajaran supaya pihak lain tidak mengulangi perbuatan sama.
“Saya masih tidak berpuas hati dengan pelaksanaan penguatkuasaan bagi mencegah pencerobohan tanah, namun saya percaya kerajaan negeri sedang berusaha yang termampu kerana hutan Pahang ini besar.
“Mereka memerlukan segala tenaga untuk membuat pengawasan dan penguatkuasaan berterusan bagi mengesan jika berlaku pencerobohan itu.
“Jadi, kerajaan negeri boleh memberi kesedaran dan nasihat kepada rakyat untuk membantu menjadi mata dan telinga kerajaan dan melaporkan jika kegiatan itu berlaku,” titah baginda lapor BH.
April lalu, Al-Sultan Abdullah bertitah, 14,494.908 hektar tanah kerajaan negeri diceroboh dan diusahakan secara haram dengan tanaman sawit, getah, durian dan pelbagai hasil bumi.
Titah baginda, lebih malang lagi, sebanyak 5,997.09 hektar HSK juga diceroboh, kononnya atas nama pertanian, tetapi hakikatnya ia adalah perompakan secara terbuka terhadap harta negeri.
Kerajaan Pahang diketuai Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) sebelum ini melancarkan Op Sekat 3.0, iaitu operasi khas membanteras pencerobohan tanah kerajaan dan rizab hutan di Raub, termasuk menebang pokok ditanam secara haram.
Kira-kira 10,521 hektar tanah di daerah itu dilaporkan diceroboh secara haram sejak beberapa dekad lalu.
Sebelum ini, operasi penguatkuasaan ke atas kebun durian di Raub mencetuskan pelbagai reaksi apabila pekebun didakwa tidak berpuas hati selepas tanaman mereka dimusnahkan.
Kerajaan Pahang nafikan melanggar perintah mahkamah selepas 200 pokok durian Musang King ditebang dalam operasi di Sungai Klau, Raub pada 8 April lalu. Operasi disertai polis dan UPNP itu dijalankan di kawasan kebun diteroka tanpa kebenaran.
Mengulas status terkini tanah yang sudah diceroboh di Pahang, Al-Sultan Abdullah bertitah, kerajaan negeri kini melaksanakan pemantauan berterusan terhadap usaha pemutihan lebih 14,000 hektar tanah kerajaan itu.
Baginda bertitah, selepas menzahirkan rasa dukacita berikutan banyak tanah kerajaan negeri diceroboh dan diusahakan pihak tertentu secara haram pada April lalu, kerajaan negeri mempergiat lagi penguatkuasaan, terutama di kawasan yang terkesan teruk akibat kegiatan itu.
Titah baginda, antara kawasan hutan menjadi tumpuan untuk proses pemutihan adalah di Raub, Cameron Highlands dan Rompin, yang bukan hanya membabitkan pencerobohan tanah secara haram untuk pertanian, malah aktiviti perlombongan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang, Zainuddin Jamaluddin, ketika dihubungi, berkata dalam tempoh 15 tahun bermula 2010, seramai 131 orang ditangkap kerana menceroboh HSK di negeri itu, termasuk 28 orang ditahan tahun ini.
Beliau berkata, 118 kertas siasatan berhubung pencerobohan HSK dibuka dan ada di antara yang didakwa itu dikenakan tindakan kompaun serta denda sehingga RM10,000, manakala kes selebihnya masih dalam prosiding mahkamah.
“Pahang memiliki 1.6 juta hektar HSK dan kira-kira 5,997.09 hektar daripadanya yang diceroboh, iaitu sekitar 0.8 peratus.
“Bagi usaha penguatkuasaan di kawasan diceroboh, kita melakukan tebangan pokok sebelum kawasan HSK itu ditanam pokok hutan,” katanya.
Mengulas program pemutihan tanah diceroboh, beliau berkata, usaha itu dilakukan bagi memberi hasil kepada kerajaan negeri yang selama ini kerugian akibat tindakan pihak terbabit mengaut untung mencuri hasil negeri.