LKAN 2 2024: Kerajaan sedia terima kritikan membina bagi tambah baik tatakelola – Fahmi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Keputusan untuk membenarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 dibahaskan di Dewan Rakyat adalah bukti kerajaan terbuka menerima kritikan membina bagi menambah baik tatakelola negara, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata perbahasan mengenai laporan itu yang dijangka bermula pada persidangan Dewan Rakyat minggu depan membolehkan Ahli Parlimen membahas isu dan memberi cadangan bagi meningkatkan pengurusan kementerian, jabatan dan agensi yang disebut.

“Keterbukaan kerajaan untuk menerima kritikan membangun dan konstruktif ini kita harap dapat dicerminkan dalam perbahasan minggu hadapan.

“Kita (kerajaan) terbuka untuk menerima kritikan tetapi janganlah sampai membuat tohmahan yang tidak berasas ataupun fitnah. Kita (Ahli Parlimen) berhak untuk bersuara, tapi tidak berhak untuk memfitnah ataupun menyebarkan maklumat yang palsu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini, hari ini.

LKAN 2/2024 yang antaranya melaporkan sembilan pengauditan melibatkan 11 kementerian dengan kos keseluruhan diaudit berjumlah RM41.97 bilion, dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Ia melibatkan pengauditan mengenai aktiviti kementerian atau jabatan Kerajaan Persekutuan serta badan-badan berkanun Persekutuan, dan skop pengauditan meliputi projek yang dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) hingga RMK12.

Beberapa kelemahan dalam pelaksanaan yang berpunca daripada pelbagai faktor seperti kurang pemantauan atau penyeliaan oleh pihak berkaitan, ketiadaan penyelarasan antara agensi berkenaan, ketiadaan pangkalan data yang lengkap dan kelemahan dalam polisi mahupun prosedur kerja disebut dalam laporan berkenaan.

Sementara itu Fahmi berkata Kementerian Komunikasi juga telah ditegur dalam LKAN 2/2024 berhubung pelaksanaan projek ‘Point-of-Presence’ (PoP).

Beliau berkata ia melibatkan kelewatan pelaksanaan fasa satu projek berkenaan yang sepatutnya selesai pada penghujung 2022.

“Ini adalah pada ketika sebelum saya dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi (Datuk Mohamad Fauzi Md Isa) masuk, tetapi kami akan teliti teguran yang dibuat,’ katanya.

Fahmi berkata fasa satu projek itu kini hampir selesai dengan hanya tiga tapak yang masih belum siap dibangunkan. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat