KUALA LUMPUR- Keresahan pengundi Melayu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap terhadap kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan dilihat sudah mula menunjukkan tanda reda.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini, pihaknya mengambil maklum terdapat keresahan pengundi Melayu di seluruh negara terhadap penubuhan Kerajaan Perpaduan.
“Saya mohon sahabat-sahabat Tionghua dan India memahami perspektif orang Melayu di Kampung yang membesar daripada seumur hidupnya tak pernah terfikir bahawa kerajaan akan bertukar.
“Tiba tiba kerajaan bertukar dan yang membentuk kerajaan itu dilihat parti pelbagai kaum bukan parti untuk orang Melayu semata-mata memang adalah keresahan itu.
“Alhamdulillah saya boleh sebut bahawa ada tanda-tanda keresahan terutamanya pengundi Melayu itu mula reda,” katanya pada Ceramah Perpaduan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap di Ladang Sempah di Nibong Tebal, malam tadi.
Menteri Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Pandan itu berkata dalam tempoh 18 bulan lalu pengundi Melayu mempunyai dilema berhubung persoalan adakah kepentingan mereka akan terabai atau negara akan dijual sekiranya ditadbir Kerajaan Perpaduan.
Namun, beliau memaklumkan kunjungannya dari rumah ke rumah menuju dari satu kampung ke satu kampung sepanjang tempoh berkempen pada PRK Sungai Bakap beberapa hari ini mendapat penerimaan positif daripada pengundi.
“Kalau emosi itu masih lagi bergolak seperti yang cuba dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN) dua, tiga hari masa saya keluar masuk kampung, pergi jumpa satu-satu (pengundi) paling kurang saya dah kena baling batu.
“Tapi Alhamdulillah nampak tenang begitu juga data-data yang diperoleh kalau kita berjaya gabung, gembleng kempen yang baik, insya-Allah akan ada peralihan undi daripada kalangan pengundi Melayu,” lapor BH Pulau Pinang.
Rafizi dalam pada itu turut mendedahkan kaji selidik yang dijalankan mendapati pengundi sama ada tua atau muda tanpa mengira kaum menunjukkan rasa tidak berpuas hati terhadap prestasi khidmat wakil rakyat PN.
Beliau melihat, pengundi biasa di Sungai Bakap sudah mula tahu dan menyedari paling penting dalam membuat keputusan adalah memilih wakil rakyat yang boleh membantu menyelesaikan masalah setempat.
“Dia (pengundi) meluahkan perasaan nak minta cop susah, bantuan tak ada kalau pergi (mengadu) selalunya tidak ada ‘follow up’ atau tindakan selanjutnya.
“Jadi perkara itu diterjemahkan dalam kaji selidik dan bila kita turun rumah ke rumah, memang itulah orang cakap sebab itu saya cabar dari minggu lalu (bentang rekod prestasi) sehingga sekarang tak jawab,” katanya.
PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon PH iaitu bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).
PH menamakan bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin, 60, sebagai calon menentang calon PN, Abidin Ismail, 56, dalam persaingan satu lawan satu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai hari mengundi.