GeoTanaman, GeoTanih Perkukuh Sistem Makanan Negara

KUALA LUMPUR -Kerajaan memperkenalkan sistem GeoTanaman dan GeoTanih bagi memperkukuhkan rantaian sistem makanan negara dalam usaha mengurangkan impak akibat krisis makanan dunia.

Sistem GeoTanaman dibangunkan menggunakan konsep berorientasikan perkhidmatan seni bina yang boleh diakses melalui web dan telefon bimbit bagi mendapatkan maklumat koordinat kawasan tanaman makanan negara .

Pengguna sistem juga boleh mengurus dan menganalisis maklumat serta data guna tanah Semenanjung Malaysia serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Pengguna sistem Geotanaman terdiri daripada seluruh rantaian pengeluar makanan antaranya membabitkan petani dan pemborong.

Sementara sistem GeoTanih dibangunkan untuk memudahkan carian jenis tanah dan kesesuaian tanaman bagi setiap lokasi dengan penggunaan sistem dalam talian di mana ia dapat mengakses maklumat tanah yang dicerap di lapangan melalui aktiviti siasatan tanah dan boleh diperolehi dalam bentuk bercetak atau digital.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata melalui dua sistem ini, ia berupaya menjadikan subsektor tanaman makanan lebih efisien dan lestari sekali gus memberi kelebihan buat pengguna dan petani.

Mengulas lanjut katanya, fokus utama sistem GeoTanaman adalah untuk memperkasakan ekonomi usahawan tani khususnya dalam menyediakan bekalan makanan yang berkualiti dan selamat dimakan kepada rakyat dan negara.

“Sistem ini diyakini dapat memberi manfaat kepada petani dan pemborong dalam merancang pengeluaran hasil tanaman makanan mengikut pemintaan dan penawaran serta membuka ruang pasaran untuk dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain industri makanan.

“Sistem ini menjimatkan kos, mesra pengguna, interaktif, mudah difahami dan boleh diakses oleh semua pemegang
taruh termasuk jabatan atau agensi lain.

“Ia bertujuan untuk membantu rakyat terutamanya petani memperkukuhkan rantaian sistem makanan negara terutamanya dalam subsektor tanaman makanan supaya lebih efisien dan lestari bagi mengurangkan impak akibat krisis makanan,” katanya lapor BH.

Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MAFI, Azah Hanim Ahmad. Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia, Datuk Zahimi Hassan.

Sistem GeoTanaman ini dibina bagi mencapai dua objektif utama iaitu bagi imbangan perdagangan (BOT) Tanaman Makanan dalam mengatasi lambakan sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan serta kemasukan bekalan itu secara import.

Objektif kedua pula adalah bagi membangunkan Pangkalan Data Geospatial Inventori Tanaman Negara bersepadu yang teratur, seragam dan sentiasa dikemaskini ke arah Transformasi Pertanian Digital.

Pada masa sama, Ronald berkata, sehingga kini lebih 1,200 pengguna sudah berdaftar dalam sistem Geotanaman yang terdiri daripada golongan petani, pemborong, kedai input baja dan racun dan pengusaha industri asas tani.

Beliau berkata, padanan pasaran atau e-dagang secara terus di antara usahawan tani dengan pengeksport juga boleh dicapai secara dalam talian melalui sistem GeoTanaman ini.

Sementara itu, Zahimi berkata, Jabatan Pertanian Malaysia yang berperanan sebagai pemadan tanah negara bertanggungjawab membuat inventori dan repositori data tanah berdasarkan sistem klasifikasi tempatan dan rujukan antarabangsa.

“Data ini amat penting kepada negara bukan sahaja untuk mengetahui maklumat profil tanah dan kesesuaian tanah untuk tanaman malah menjadi elemen utama dalam perancangan pembangunan pertanian dan keselamatan negara.

“Sistem ini kelak akan diintegrasi dengan maklumat pemuliharaan dan kesuburan tanah bagi membantu pemegang taruh mendapatkan maklumat pengurusan tanah secara lestari dalam satu sistem,” katanya.