Adakah RoS Alat Politik? – Puad

KUALA LUMPUR- Sehingga hari ini, Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) belum meluluskan permohonan UMNO meminda perlembagaan parti yang yang lulus di Perhimpunan Agung Khas UMNO 2022.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi mempersoalkan, apakah RoS jabatan paling tidak efisien di Malaysia? Jabatan yang tebal dengan birokrasi dan masih dibelenggu dengan tadbir urus lapok?

“Kalau permohonan UMNO untuk menangguh pemilihan parti dalam tempoh enam bulan selepas PRU tidak ikut perlembagaan, kenapa permohonan MCA dan Gerakan boleh lulus?

“Apakah ROS alat politik yang hanya memusuhi UMNO kerana Menterinya dari PPBM. RoS pernah keluar surat mendakwa MKT UMNO berstatus “caretaker” sahaja,” soal beliau dalam kenyataan pada Isnin.

Asas beliau berkata demikian memandangkan, RoS merupakan jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri yang diterajui oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung Bersatu.

UMNO sebelum ini menangguhkan pemilihan parti di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun 2021.

Berdasarkan perkiraan tersebut, tempoh 18 bulan itu akan tamat hujung tahun ini dan pemilihan UMNO perlu diadakan sebelum 30 Disember 2022.