KUALA LUMPUR – Malaysia menyasarkan ketibaan 500,000 pelancong dari United Kingdom (UK) sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah itu dapat dicapai berdasarkan kedatangan pelancong dari negara berkenaan pada 4 bulan pertama tahun ini dan ia menunjukkan peningkatan memberangsangkan.
Menurut Zahid, dia yakin jumlah berkenaan akan terus meningkat.
“Saya berpuas hati dengan usaha dijalankan Tourism Malaysia di London ini khususnya, hasrat untuk memperoleh 500,000 pelancong dari UK saya yakin dapat dicapai,” katanya pada sidang media selepas melancarkan TMM2026 di London pada Selasa, lapor Bernama.
Terdahulu, Zahid menghadiri sesi Meja Bulat Pelancongan bersama pemain industri pelancongan di UK.
Pada sesi itu, dia berkata, terdapat cadangan pengenalan pakej khas kepada pelancong yang menaiki penerbangan Malaysia dengan menawarkan insentif stopover untuk mereka singgah dan menikmati pengalaman di Kuala Lumpur atau mana-mana destinasi di Semenanjung.
“Saya bersetuju untuk membawa perkara ini kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, serta kabinet untuk kita mohon supaya pakej ini dapat dilaksanakan menjelang 2026.
“… kerana Malaysia Airlines pernah memberikan pakej sama satu ketika dahulu, ia cukup berjaya dan mungkin saranan diberikan oleh pengurus Malaysia Airlines di London ini boleh kita realisasikan,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya Zahid berkata pada 2024 Malaysia mencatatkan 390,035 kedatangan pelancong dari UK yang menyumbang kepada lebih RM2.5 bilion daripada hasil perbelanjaan pelancong.
Katanya Malaysia juga meluluskan 103 laluan baru antarabangsa, 29 kekerapan tambahan dan lima penerbangan carter.
“Semuanya sebagai persiapan TMM2026. Saya percaya laluan ini bukan sekadar infrastruktur tetapi juga pintu kepada pelbagai peluang sama ada untuk pelancong, pengendali mahupun pelabur,” katanya.