Aktiviti akuakultur pemacu ekonomi luar bandar

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

LANCHANG – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengambil langkah proaktif menganjurkan program menangkap ikan secara tradisional telah membuktikan agro pelancongan berkaitan perikanan darat dapat dimajukan secara lestari dengan penglibatan aktif komuniti.

Ketua Pengarahnya, Dato’ Hj. Adnan Hussain berkata Estet Ikan Paya Chempaka adalah contoh kejayaan kerjasama antara agensi dan rakyat dalam memanfaatkan aktiviti akuakultur sebagai pemacu ekonomi luar bandar.

Estet ini merupakan salah satu daripada tujuh estet ikan di Pahang yang dibangunkan sejak tahun 1980-an menerusi kerjasama DOF bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Jawatankuasa Estet.

Adnan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Menangkap Ikan di Estet Ikan Paya Chempaka, Kampung Chempaka, dekat sini, baru-baru ini.

Menurut beliau pesta ini bertujuan memperkasakan peranan komuniti setempat dalam usaha pemuliharaan dan pembangunan sumber perikanan darat secara mampan dan terkawal.

“Inisiatif ini menghidupkan semula kawasan paya terbiar sebagai sumber ekonomi luar bandar melalui kaedah akuakultur berasaskan komuniti.

“Selain itu, estet ini turut menerima pelbagai bantuan di bawah Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan Pengembangan (SPeKS) termasuk sangkar, bot, benih ikan, makanan ikan dan infrastruktur asas dengan nilai keseluruhan sebanyak RM100,000.

“Rekod semasa penganjuran pesta menjala pada Julai 2022 telah mencatatkan hasil pendaratan ikan sebanyak 16.62 tan metrik dengan anggaran nilai pasaran mencecah RM91,000.

“DOF terus komited dalam memastikan sumber perikanan darat negara kekal terpelihara daripada ancaman aktiviti haram seperti penggunaan racun, renjatan elektrik dan pelepasan spesies ikan asing invasif ke perairan umum melalui penguatkuasaan Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai Pahang 1991), ”katanya.

“Pesta ini diharap dapat mengukuhkan jaringan kerjasama antara agensi kerajaan dan komuniti tempatan serta meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan pemuliharaan sumber perikanan darat demi kelestarian sumber makanan negara.

“Pelbagai spesies ikan seperti patin, kelah, lampam dan puyu terdapat di estet ini hasil pelepasan berperingkat benih ikan oleh DOF sejak 2023.

“Penyertaan pertandingan ini dihadkan kepada peserta berdaftar dengan yuran minimum, manakala hanya peralatan tradisional seperti jala, serkap dan sauk dibenarkan bagi memastikan aktiviti dilaksanakan secara lestari dan terkawal, ”katanya lagi.

Seramai 500 peserta menyertai pertandingan menangkap ikan secara tradisional ikan, selain aktiviti sampingan seperti pertandingan ikan terberat dan demonstrasi memasak ikan air tawar.

Selain itu, penyerahan bantuan Geran Pemadanan Program Pembangunan Integrasi Akuakultur (PPIA) berjumlah keseluruhan RM1.7 juta kepada empat kluster akuakultur di Temerloh, iaitu Kluster Arusan Pangsenam, Kampung Peragap, Kuala Kerau, dan Kampung Pasir Mandi.

Sebanyak RM138,000 turut disalurkan sebagai bantuan Elaun Sara Hidup kepada 46 orang nelayan darat di Daerah Temerloh.

Turut hadir, Wakil Penyelaras Dun Kuala Semantan, Dato’ Razmi Hj. Sudin; Pengarah Perikanan DOF Pahang, Roslan Abu Hasan; Pegawai Daerah Temerloh, Dato’ Khairur Rizal Ramli; Pengarah Kanan Bahagian Konservasi dan Perlindungan Perikanan DOF, Abdullah Jaafar; Pengarah Kanan Sumber Perikanan Tangkapan DOF, Ruzaidi Mamat; dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Temerloh, Aizuddin Rupawon.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat