KUALA LUMPUR- Kapal Tempur Pesisir (LCS) pertama telah berjaya diluncurkan ke permukaan air di Lumut Naval Shipyard (Lunas) pada 23 Mei lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peluncuran itu adalah untuk menguji kestabilan dan keutuhan kapal.
Menurut Khaled, kapal itu kini sedang dan akan menjalani proses ujian pemasangan sistem serta peralatan yang mengambil masa sehingga tahun depan.
“Dalam bulan Disember akan dilakukan harbour trial (ujian pelabuhan) dan selepas semua perkakas dipasang, maka akan dilakukan sea trial (ujian di laut).
“Kalau ikut perancangan, kapal yang pertama akan diserahkan kepada pihak TLDM pada bulan Ogos 2026, Insya-Allah.
“Bagi kapal-kapal yang lain… kapal kedua, ketiga, keempat… pembinaannya telah pun capai ikut perancangan, ada yang 60 peratus, ada yang 50 peratus dan sebagainya. Sehinggalah kapal yang kelima, insya-Allah ia mengikut progress sebagaimana yang telah dirancangkan,” katanya lapor Astro Awani pada Selasa.
Beliau ditemui sempena Lawatan Kerja dan Majlis Ramah Mesra di Pangkalan TLDM Lumut.
Jelas Khaled lagi, proses ujian itu mengambil masa yang panjang kerana kapal yang boleh memuatkan sekurang-kurangnya 120 anggota itu akan digunakan untuk memikul tanggungjawab besar.
Sehubungan itu kata beliau, segala ujian yang dibuat adalah untuk memastikan ia benar-benar selamat, sesuai dengan tugasannya untuk menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.