Sanggup Jaga Adik-beradik OKU Lepas Ibu Bapa Meninggal Dunia

- Advertisement -

KUANTAN – Pengorbanan dua orang kakak yang sedia menggalas tugas menjaga lima adik-beradik berstatus orang kurang upaya (OKU) selepas ibu bapa mereka meninggal dunia, sangat menyentuh hati.

Nur Azuraida Abd Rani, 40, dan Nurul Aina Fitrah mengambil alih tugas itu selepas kedua orang tua mereka meninggal dunia 18 Mac dan 24 April lalu.

“Arwah ayah meninggal pada 18 Mac akibat masalah kegagalan oksigen, manakala ibu pula pada 24 Mac kerana sesak nafas,” kata Nurul Aina Fitrah ketika ditemui di Kampung Pelindung, dekat Beserah, di sini.

Dia berkata, dua abangnya yang OKU, Mohamad Asrul Nizam, 38 dan Mohamad Iskandar, 31, menetap di Klang, Selangor, bersama Nur Azuraida.

Manakala tiga lagi adik-beradik mereka, Siti Nurul Ashikin, 35; Mohamad Ikmal Hakimi, 24 tahun dan Mohamad Amir Azwan, 20, tinggal bersamanya di rumah peninggalan orang tua mereka di sini.

“Kakak saya (kerja) kakitangan kerajaan di Klang dan mula menjaga dua abang sejak ayah meninggal dunia, saya pula jaga seorang kakak dan dua adik di sini.

“Hanya kami berdua yang normal, adik-beradik lain ada masalah lembam tapi boleh menguruskan diri sendiri, cuma kami perlu pantau,” katanya lagi.

Nurul Aina Fitrah berkata, kedua ibu bapanya pernah berpesan supaya kami terus menjaga adik-beradik yang OKU itu jika mereka sudah tiada.

“Walau apa pun berlaku, ibu dan ayah sangat berharap kami tidak berpisah, jadi saya dan kakak pegang pesanan itu sampai sekarang walaupun ada saudara yang minta untuk menjaga adik dan kakak,” katanya yang bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah pasar raya dekat sini.

Ketika ditanya mengenai suasana sambutan Aidilfitri tahun ini, dia cuba menyediakan kelengkapan seperti pakaian baharu kepada adik dan kakaknya secara ala kadar.

“Lagipun ini kali pertama kami beraya tanpa ibu dan ayah, jadi kami buat (persiapan) sekadar termampu sahaja.

“Cuma saya cuba jugalah belikan pakaian baharu untuk mereka dan memang ramai yang tampil memberikan bantuan serta sumbangan untuk kami,” katanya lagi.

Nurul Aina Fitrah yang sudah mendirikan rumah tangga itu juga memaklumkan keluarga mentuanya sangat memahami keadaan dan selalu memberi semangat kepadanya.

“Saya bersyukur kerana mempunyai ibu mertua yang baik, jika saya balik ke rumah mentua di Maran, dia minta bawa sekali adik-beradik saya.

“Bukan itu sahaja, tempat untuk mereka tidur disediakan dan keluarga mentua juga melayan mereka dengan baik,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat