Berikan Kuasa Parlimen Untuk Lantik Peguam Negara, KPN, SPRM, SPR

- Advertisement -

PETALING JAYA: Parlimen perlu diberi kuasa melantik empat jawatan tertinggi seperti Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan bebas daripada campur tangan politik.

Pada masa kini pelantikan keempat-empat jawatan tertinggi dalam kerajaan itu ditentukan oleh badan eksekutif masing-masing yang sering dikaitkan dengan pengaruh dan campur tangan ahli politik atau ‘tangan ghaib’ yang didakwa memberi kepentingan untuk pihak tertentu.

Justeru bukan sahaja pelantikan Ketua Polis Negara, tetapi kaedah pelantikan jawatan lain perlu dikaji untuk melalui institusi Parlimen agar peranannya dipantau oleh sebuah badan demokrasi tertinggi yang bebas dan tidak terikat dengan mana-mana pengaruh politik.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, geostrategis, Azmi Hassan berkata, pelantikan jawatan penting membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan SPR wajar sama diletakkan di bawah Parlimen agar tidak terikat dengan mana-mana pihak termasuk kuasa eksekutif.

Katanya, berbanding cara sekarang, pelantikan Ketua Polis Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Pengerusi SPR dibuat di atas Yang di-Pertuan Agong setelah Seri Paduka menerima nasihat Perdana Menteri dan ia menunjukkan pelantikannya tidak bebas.

“Seharusnya pelantikan pegawai tinggi perlu bebas dan bukan tidak berada di bawah pengaruh politik dan secara khususnya terus kepada Parlimen. Hal ini kerana agensi penguatkuasaan perlu melunaskan tugas pelaksanaan undang-undang tanpa tekanan politik.

“Bagi menunjukkan mereka tidak terikat dan ditekan dengan pengaruh politik, seharusnya tanggungjawab mereka dipantau dan tentu sekali perlu dibuat melalui institusi Parlimen. Jadi pelantikan Ketua Polis Negara perlu diubah,” katanya.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dalam Mingguan Malaysia semalam mendedahkan campur tangan ahli politik dalam urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) didakwa berlaku sejak dahulu sehingga menganggu operasi penguatkuasaan pasukan keselamatan itu.

Beliau mengulas kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang menggesa agar campur tangan politik dalam urusan PDRM dihentikan termasuk menggantikan Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) bukan dalam kalangan menteri.

Dalam pada itu, Azmi menambah, menteri tidak wajar mencampuri mana-mana urusan pelantikan pegawai tinggi kerajaan termasuk Ketua Polis Negara kerana penglibatan mereka bakal mencetuskan persepsi ‘tangan ghaib’ politik untuk mengawal sesebuah agensi kerajaan.

“Tugas menteri hanya perlu pantau visi dan misi serta keperluan mereka untuk dikemukakan kepada kerajaan untuk diperbaiki, bukannya campur tangan dalam urusan pelantikan. Jika ini berlaku, sudah tentu pelantikan itu seolah-olah ada lantikan politik,” katanya.

Nada sama juga disuarakan oleh Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow yang menggesa agar proses pelantikan Ketua Polis Negara dibawa ke Parlimen dengan Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan iaitu berkaitan urusan pelantikan jawatan itu perlu dipinda.

Katanya, buat masa sekarang pelantikan Ketua Polis Negara, Timbalan Ketua Polis Negara dan jawatan kanan adalah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong di atas nasihat Perdana Menteri setelah mendapat perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) seperti seperti termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.

Namun katanya, Seri Paduka Baginda boleh menimbangkan nasihat Perdana Menteri terhadap pelantikan dan boleh merujuk syor itu sekali lagi kepada suruhanjaya itu untuk ditimbangkan semula.

“Namun paling penting adalah pertimbangan perlu diberikan bagi meminda proses pelantikan ini dengan membawa ke Parlimen.

“Cadangan pembaharuan terhadap proses lantikan ini adalah satu bentuk proses semak dan imbang dan ia diyakini berupaya menangkis sebarang ancaman termasuk dakwaan kartel di dalam pasukan polis pada masa depan.

“Perubahan proses pelantikan ini juga dapat memberi satu semangat dan keyakinan kepada Ketua Polis Negara yang baharu dilantik kelak untuk melakukan proses tambah baik terhadap sistem dan prosedur sedia ada dalam pasukan polis kerana telah diberi tanggungjawab besar oleh ahli-ahli Parlimen untuk menjalankan amanahnya,” katanya.

– UTUSAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat