KUALA LUMPUR – Warga emas yang berusia lebih 60 tahun direkodkan seramai 864,450 masih belum menerima dos penggalak.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberitahu, kes kematian akibat Covid-19 sekarang banyak tertumpu kepada golongan tersebut terutama yang belum disuntik dos ketiga.

“Dalam fasa peralihan ini, kita harus melindungi golongan yang berisiko tinggi seperti orang tua kita. Bawa mereka dapatkan suntikan dos penggalak.

“Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dalam fasa peralihan ini,” kata di Twitter pada Isnin.

Beliau juga senang menyaksikan orang ramai kembali ke masjid beribadah terutamanya pada bulan Ramadan.

“Alhamdulillah masjid mula penuh untuk solat berjemaah. Terus pakai pelitup muka dengan cara yang betul.

“Memakai pelitup muka dengan betul terutama di dalam kawasan tertutup dengan pengudaraan yang baik sangat penting untuk kita menguruskan Covid-19,” katanya.