Potong Subsidi: Anwar Pertahan DAP, Salahkan Dr Mahathir – Najib

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mempertikai dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meletakkan beban kesalahan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad isu pemotongan subsidi sewaktu pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) berkata, Anwar cuba pertahankan DAP dengan salahkan Dr Mahathir berhubung bantuan dan subsidi ketika kerajaan PH dahulu banyak dipotong dan dimansuh.

Sedangkan kata Najib pada September 2018 Menteri Kewangan yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ada menyeru rakyat untuk bersikap lebih relistik dan bertanggungjawab terhadap negara dengan tidak begitu mengharapkan bantuan terutamanya wang percuma daripada kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh PH ketika itu.

Hal ini kata Guan Eng sejak PH mengambil alih daripada kerajaan terdahulu Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh mereka sejak 61 tahun lepas, pihaknya berdepan dengan pelbagai ‘komplikasi’.

Dalam laporan The Vibes, Anwar menegaskan bahawa bukan DAP yang mendesak untuk mengurangkan subsidi semasa pentadbiran PH sebaliknya beliau meletakkan kesalahan kepada Perdana Menteri ketika itu iaitu Dr Mahathir.

Anwarberkata pemotongan subsidi yang disasarkan kepada petani dan nelayan telah menyebabkan masyarakat Melayu menyalahkan keputusan itu kepada menteri kewangan ketika itu yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Pemotongan subsidi tidak disokong oleh Guan Eng, dan apabila perkara itu dibawa kepada perdana menteri, Dr Mahathir menegaskan bahawa mentaliti subsidi mesti hilang, kata Anwar.