KUALA LUMPUR: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia menyahut cabaran berdebat dengan bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abd Razak.
Tegasnya, beliau bersedia untuk berdepan dan berdebat demi negara dan rakyat pada bila-bila masa dengan Najib Razak.
“Saya ambil maklum lontaran cabaran debat dari mantan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak.
“Sikap saya jelas dan tidak berganjak sejak lebih 10 tahun lalu di mana saya pernah melontarkan cabaran yang serupa kepada beliau tapi tidak bersahut.
“Beliau kini memilih mencabar saya di awal bulan Ramadan setelah gagal menjawab sanggahan saudara Rafizi Ramli mengenai kemelut ‘bail-out’ Sapura dalam keadaan rakyat miskin dan para peniaga kecil yang tidak terbela.” kata Anwar melalui catatan Facebooknya, pada Selasa.
Terdahulu ketika diwawancara MG, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bersedia untuk berdebat secara terbuka dengan Najib Razak bagi merungkai isu-isu ketika pentadbiran dan selepas pentadbiran bekas Perdana Menteri itu.
“Saya setuju untuk berdebat dengan Najib, kalau mana-mana pihak nak jemput saya berdebat boleh cuma masalahnya saya yakin Najib tidak akan setuju,” katanya.
Namun jawab Najib, Rafizi perlu memanggil Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk turut sama dalam sesi debat berkenaan.
“Rafizi nak debat isu Sapura? Boleh. Tapi panggil ‘boss’ kamu Anwar Ibrahim debat dengan saya.
“Kamu boleh sama-sama atas pentas untuk debat bersama atau bantu dia. ‘Two versus one, no problem’,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Anwar dalam Facebooknya juga memetik rangkap pantun pendekar Melayu ditujukan kepada Najib Razak yang berbunyi:
Tuan Puteri pergi ke Lukut,
Bawa pulang kacang panjang,
Sedikit pun hamba tak takut,
Kalau berani turun gelanggang.
-SUARATV