PM Umum Penstrukturan Semula Empat Konsesi, Kadar Tol Tak Naik

KUALA LUMPUR- Perdana Menteri hari ini mengumumkan berita baik iaitu kerajaan telah bersetuju untuk penstrukturan semula empat konsesi lebuh raya di Lembah Klang.

Kata Datuk Seri Ismail Sabri melalui penstrukturan ini kadar tol tidak akan dinaikkan dan kekal iaitu membabitkan syarikat Kesas Sdn. Bhd. yang menguruskan Lebuh raya Shah Alam(KESAS); Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd yang menguruskan Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART); Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd yang menguruskan Lebuh raya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd yang menguruskan Lebuh raya Damasara – Puchong (LDP).

“Setelah penelitian terperinci daripada semua aspek yang meliputi bebanan kepada pengguna, obligasi kerajaan selaras dengan Perjanjian Konsesi serta beban kewangan kerajaan, kerajaan telah bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuhraya di sekitar Lembah Klang.

“Kadar tol KESAS, SMART, SPRINT dan LDP tidak akan dinaikkan dan kekal sehingga tamat konsesi serta akan dapat menjimatkan bayaran pampasan dari 1 Januari 2022 sehingga tamat tempoh konsesi,” kata Perdana Menteri pada Isnin.

Beliau memberitahu, penjimatan bersih bagi pembayaran subsidi tol untuk keempat-empat lebuh raya tersebut adalah dianggarkan sekurang-kurangnyaRM4.3 bilion.

“Ini merupakan usaha berterusan kerajaan untuk memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban khususnya dengan kenaikan kadar tol seperti
mana yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi.

“Penjimatan ini boleh dimanfaatkan bagi program pembangunan infrastruktur negara dan kemudahan-kemudahan lain yang perlu diutamakan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Penstrukturan dilaksanakan sejajar dengan prinsip serta objektif utama Kerajaan iaitu untuk mengurangkan beban Keluarga Malaysia serta tidak melibatkan implikasi kewangan kepada Kerajaan,” ujar beliau lagi.

Ismail Sabri berkata, perincian lanjut berhubung kelulusan kerajaan mengenai penstrukturan semula ini akan dimaklumkan oleh Menteri Kanan Kerja Raya.