Wanita rugi lebih RM3 juta, peti besi berisi jongkong emas dan wang dilarikan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan wanita dan keluarganya kerugian kira-kira RM3.5 juta selepas kediaman mereka di Padang Balang, di sini, dipecah masuk, semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata mangsa dan keluarga dikatakan tidak berada di rumah itu ketika kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 malam tadi, sebelum pihaknya menerima laporan berhubung insiden berkenaan, hari ini.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebuah peti besi yang mengandungi jongkong emas dan wang tunai bernilai kira-kira RM3 juta telah dilarikan penjenayah.

“Selain itu, beberapa beg tangan berjenama serta barangan kemas milik ahli keluarga mangsa turut dilarikan. Jumlah keseluruhan kerugian dialami mangsa berusia 43 tahun itu dianggarkan kira-kira RM3.5 juta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek juga dipercayai merosakkan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah berkenaan.

“Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, dan kes masih dalam siasatan polis.

“Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju melalui talian 03-92899222.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur melalui talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat